malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Sudahkah Mahathir minta maaf?'
Diterbitkan:  Jul 20, 2017 1:39 PM
Dikemaskini: 5:49 AM
ADS

Menganggap pelik apabila Tun Dr Mahathir mahu enjadi wira reformasi di negara ini, PAS bertanya, apakah bekas perdana menteri itu sudah meminta maaf atas segala tindakannnya semasa berkuasa dulu.

Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata masalah yang berlaku di negara ini sekarang adalah "hasil anak susuan" Dr Mahathir sendiri.

"Siapa tidak kenal Dr Mahathir sewaktu berkuasa (selama) 22 tahun?" katanya dalam kenyataan umum hari ini.

Dr Mahathir kini menjadi antara pengkritik tegar kerajaan Datuk Seri Najib Razak dan baru-baru ini dipilih menjadi pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN).

PAS bagaimanapun tidak menjadi sebahagian daripada komponen gabungan pembangkang itu, sebaliknya bergerak sendiri dengan menjuarai amalan politik matang dan sejahtera.

Dilihat tidak lagi keras dengan BN, Idris pada 16 Julai lalu mengingatkan PAS masih lagi sebuah parti pembangkang.

Kata Idris, segala kesalahan yang pernah dilakukan Dr Mahathir "boleh disucikan" apabila ahli politik veteran itu duduk sepentas dengan pembangkang "untuk agenda peribadi".

Suka kumpul kekayaan

Sementara itu mengenai penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat skandal dagangan mata wang asing pada 1990-an lalu, Idris berkata, secara umumnya seseorang itu sentiasa "kebal" ketika berkuasa.

"Kenapa sekarang baru hendak timbul balik? Kalau Dr Mahathir tidak melawan Najib, adakah RCI itu akan ditubuhkan?

"Kenapa apabila Dr Mahathir tidak berkuasa maka baru hendak ditubuhkan?

"Apakah undang-undang di Malaysia ini boleh dilaksanakan apabila (seseorang itu) tidak ada kuasa lagi?

"Apakah ketika ada kuasa maka ia kebal daripada tindakan undang-undang. Boleh bermaharajalela. Ketika ada kuasa semua menikus. Itu pun fasal lawan tauke," katanya.

Idris yang juga anggota parlimen Bukit Gantang berkata, amalan sebegitu adalah tata kelola yang tidak baik bagi sebuah negara.

"Rakyat menjadi pertaruhan, dan penderitaan akan dialami oleh rakyat marhaen. Pemimpin sibuk berpolitik sehingga kos sara hidup rakyat tidak dipedulikan.

"Pemimpin boleh bersuka-ria mengumpul kekayaan hasil daripada penindasan dan ketirisan sewaktu ada kuasa. Kerana mereka tahu, mereka kebal daripada tindakan.

"Mangsanya ialah rakyat dan generasi kanak-kanak yang masih kecil tidak tahu hala tuju mereka," katanya.

Beliau juga bertanya sama ada RCI mengenai 1MDB hanya akan ditubuhkan apabila Najib tidak lagi berkuasa dan melawan kerajaan ketika itu.

"Apakah corak kepimpinan seperti ini kita hendak bentuk di negara ini?," katanya.

Lihat Komen