malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
AMK gesa buka semula kes rasuah Scorpene
Diterbitkan:  Jul 19, 2017 2:14 PM
Dikemaskini: Jul 20, 2017 8:56 AM
ADS

Pemuda PKR (AMK) mendesak supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis membuka semula kertas siasatan rasuah dan jenayah membabitkan pembelian kapal selam Scorpene.

Timbalan ketuanya, Dr Afif Bahardin berkata pertuduhan di Perancis membuktikan unsur rasuah dalam pembelian itu termasuk jenayah membabitkan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Katanya, siasatan semula kes itu perlu bagi memberikan keadilan kepada Altantuya dan dua anggota polis, Sirul Azhar dan Azilah Hadri yang turut terpalit dengan skandal berkenaan.

"Kegagalan SPRM dan PDRM untuk menyiasat dan melakukan tindakan undang-undang berkaitan skandal kapal selam Scorpene ini akan mengakibatkan imej dan integriti agensi-agensi ini terus tercalar dan mengakibatkan rakyat hilang kepercayaan," katanya dalam kenyataan media.

Hari ini dilaporkan dua bekas eksekutif kanan didtuduh terpalit dengan rasuah berhubung jualan dua kapal selam kelas Scorpene kepada Malaysia pada tahun 2002.

Siasatan adalah untuk menentukan sama ada bekas presiden kumpulan pertahanan Perancis, Thales International Asia, membayar sogokan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melalui bekas rakan karibnya, Abdul Razak Baginda, bagi kontrak membekalkan dua kapal selam Scorpene kepada Malaysia.

Altantuya didakwa bekerja sebagai penterjemah kepada Abdul Razak Baginda ketika urusan pembelian kapal selam berkenaan, sebelum ditemui mati dibunuh pada 2006.

Razak yang mengakui mempunyai hubungan sulit dengan Altantuya, didakwa bersubahat dengan pembunuhan itu tetapi kemudian dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.

Sementara itu, polis membersihkan Najib daripada sebarang tuduhan jenayah dan perdana menteri juga dilaporkan telah bersumpah dengan nama Allah tidak terlibat dalam pembunuhan itu.

Bekas anggota polis Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri dijatuhi hukuman mati selepas disabitkan bersalah ke atas pembunuhan Altantuya.

Namun, Sirul melarikan diri ke Australia, di mana kerajaan Malaysia kini cuba mengekstradisi beliau.

Keputusan mahkamah tidak menjelaskan motif pembunuhan wanita berkenaan.

Lihat Komen