malaysiakini logo
story-image
ADS

ULASAN l Sejak beberapa minggu lalu, anjing mendominasi ruang maya, hangat cerita anjing ini berlegar pada persoalan yang sama. Persoalan ini muncul apabila satu video yang tular tentang wanita Melayu dan anjing belaannya.

Bagai satu pesta oleh netizen, pendapat dilontar, potongan ayat al-Quran dan hadis dicedok. Semua ke arah matlamat yang sama, perbincangan tentang anjing layak atau tidak layak diangkat dalam sosiologi masyarakat Melayu-Islam Malaysia.

Antara khalayak yang berpesta hujah di alam maya adalah mahasiswa. Golongan berdarah panas, muda remaja dan baharu sahaja meramas ilmu.

Golongan mahasiswa ini katanya terpelajar. “Cream of the crop”. Tempatnya di menara gading, tempat yang menjadi impian anak muda bercita-cita rencam.

Teknologi menghambat golongan mahasiswa dengan ilmu yang baharu ditemui dan cita-cita yang rencam, arus isu sensasi menjadi bualan lalu dibentuk menjadi tulisan di alam maya.

Apabila isu anjing keluar, kopiah ghaib muncul di kepala. Lalu muncul pula isu Bahasa Melayu dan penempatan doktor kontrak. Kopiah ghaib tadi dibuka sementara, lalu keris diambil dan dijulang setinggi tinggi.

Papan kekunci dan jari sekali lagi beraksi, pandangan diterjemahkan dalam bentuk tulisan di alam maya.

Ingin jadi apa?

Jika kita berebut ingin bercakap tentang itu dan ini, siapa yang ingin bercakap tentang mahasiswa. Mahasiswa perlu mengutamakan isu yang berkaitan dengan mahasiswa. Seharusnya apabila menghampiri pilihan raya umum, pelbagai isu boleh dilobi untuk kebaikan mahasiswa dan rakyat.

Mahasiswa harus sedar, kunci utama untuk melobi adalah kesatuan yang kuat dan tuntutan yang jelas. Untuk mewujudkan kesatuan yang kuat, perlu wujudnya bilangan yang ramai. Bilangan ini harus diterajui oleh suara yang lantang.

Malangnya suara-suara yang kita ada hari ini tidak lebih dari digunakan untuk perut dan kocek sendiri. Perut sendiri punya kepentingan lebih penting daripada perut beratus ribu mahasiswa yang lain.

Suara dan tapak yang ada hanya digunakan untuk hal picisan. Jadi mahasiswa akan berada dalam kitaran tahunan yang sama setiap tahun. Tak lebih tak kurang, bercakap tentang “water dispenser” dan air gedegang.

Lebih memalukan apabila pemimpin mahasiswa sendiri mengaku tidak mampu membuka mulut kerana menjaga hati pihak pentadbiran.

Selain suara-suara yang mengaku pemimpin, kita juga harus melihat kepada mahasiswa di sekeliling kita. Pemimpin yang dipilih adalah cerminan masyarakat.

Masyarakat dalam konteks ini adalah mahasiswa. Sejauh mana kita peduli tentang isu mahasiswa? Pedulikah kita tentang mahasiswa di sebelah bilik kita?

Kalau hal sekecil anak pun mahasiswa sudah gagal, bagaimana kita ingin meletakkan harapan pada mahasiswa untuk mengambil kisah isu yang lebih besar.

Kelompok mahasiswa itu sendiri sudah bermasalah. Tidak aktif mencari peluang, hanya tersandar melihat wayang yang dilakonkan oleh politikus. Wayang yang dipenuhi oleh manusia tua.

Kalau benar mahasiswa tidak mampu, mandul akal, kenapa mahasiswa di negara luar boleh lakukan? Ini bukan cerita kosong. Ini kenyataan. Baca semula kisah gerakan mahasiswa Hong Kong dalam “Umbrella Revolution”.

Kalau kalian enggan melihat revolusi masyarakat Cina Hong Kong, anda boleh melihat apa ayahanda Tun Dr Mahathir Mohamad lakukan pada zaman muda melawan Malayan Union. Usia muda bukan penghalang, jangan biar zaman memanjakan kita.

Tuntutan mahasiswa

Saya fikir bagi mahasiswa yang mengambil tahu isu politik, saat ini mungkin mahasiswa sedang berteriak di media sosial tentang kehodohan logo Pakatan Harapan.

Tapi sebagai mahasiswa, lagi hodoh sekiranya kita tidak sedar masalah “fundamental” negara apatah lagi isu golongan mahasiswa sendiri.

Lebih malang lagi, tidak ada satu pun fokus mahasiswa yang terkandung dalam janji 100 hari Pakatan Harapan yang kita boleh baca di kenyataan Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Dalam masa yang sama, kita sendiri dapat merasa betapa seksanya mahasiswa hendak mendapatkan Kad Siswa 1Malaysia. Cerita tentang penantian bantuan kerajaan ini ibarat menghabiskan “telenovela Latin”. Seperti tidak berpenghujung.

Sebagai mahasiswa kita boleh melihat betapa hodohnya layanan terhadap mahasiswa. Disepak terajang tanpa ada rasa hormat.

Benar kerajaan memberi bantuan RM250, tapi jika kita membaca dengan teliti, siapa sebenarnya menanggung seksa? Adakah maruah mahasiswa bernilai RM250?

Kita harus bertanya, adakah mahasiswa layak berada dalam situasi ini? Situasi kita tidak diendah, dan tidak dipeduli. Saya dapat katakan mahasiswa layak terima penghinaan ini.

Penghinaan kerana mahasiswa tidak hormat atas gelaran yang diberi. Tidak hormat pada diri sendiri kerana biarkan layanan kepada mahasiswa seperti ini berterusan.

Semua ini takkan berlaku kalau mahasiswa itu kembali peduli, jika tidak, mahasiswa itu akan kekal dikenali sebagai mahasiswa bangsat. Selepas ini mahasiswa punya pilihan, untuk menjadi apa yang mereka inginkan.

Bertali leher, blazer kemas ala-ala YB, jangan dilupa keris dan kopiah ghaib tadi bersidang di parlimen buatan sendiri lalu yang melihatnya dengan rasa canggung.

Mahasiswa tidak akan diperlakukan seenaknya jika wujud kesatuan yang gah dalam kalangan mahasiswa.

Maruah mahasiswa tidak semurah RM250 dan boleh dipermainkan semahunya oleh mereka yang berkuasa. Bangkitlah mahasiswa, masa hadapan negara ini terletak di tanganmu!


DANIEL MIZAN QAYYUM merupakan pelajar undang-undang Universiti Malaya. Beliau juga merupakan koordinator untuk Demokrat Universiti Malaya, sebuah badan yang aktif menyuarakan isu-isu berkaitan mahasiswa di Universiti Malaya.

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen