malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Hakim mahkamah rayuan kes Guan Eng tarik diri
ADS

Seorang lagi hakim yang sepatutnya membicarakan permohonan rayuan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon di Mahkamah Rayuan hari ini menarik diri selepas peguam kedua-dua mereka membuat permohonan lisan.

Mereka berhujah bahawa Hakim Tan Sri Idrus Harun yang menulis penghakiman dalam kes yang melibatkan anggota parlimen DAP Tony Pua yang mencabar perintah Ketua Pengarah Imigresen yang melarangnya ke luar negara telah memberikan pandangan yang sempit mengenai Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan yang menyentung tentang kebebasan seseorang, salah satu perkara yang akan dikemukakan dalam rayuan ini.

Permohonan itu dibuat oleh Gobind Singh Deo yang mewakili Lim dan V Sithambaram yang bertindak untuk Phang.

Gobind berkata beliau tidak mahu berada dalam kedudukan di mana beliau terpaksa mengkritik keputusan Hakim Idrus dalam kes Pua dan meletakkan hakim itu dalam keadaan tidak selesa kerana mereka juga telah memfailkan rayuan terhadap kes itu.

Pendakwaan diketuai oleh timbalan pendakwa raya Mohd Masri Daud yang membantah permohonan itu tetapi Hakim Idrus memutuskan untuk menarik diri.

Sehubungan itu, Datuk Umi Kalthum Abd. Majid yang bersidang bersama Idrus dan Datuk Abdul Rahman Sebli menangguhkan rayuan dan memutuskan agar ia didengar pada 7 Ogos ini di hadapan panel yang tidak dianggotai oleh Idrus.

Pada 30 Jun tahun lalu, Lim mengaku tidak bersalah atas pertuduhan rasuah menyalahgunakan kedudukan dan jawatan bagi mendapatkan rasuah berhubung penukaran status tanah daripada pertanian kepada perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Tuduhan pertama, beliau selaku penjawat awam, iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang, didakwa mendapatkan suapan bagi dirinya dan isteri, Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan permohonan penukaran tanah pertanian kepada perumahan awam di daerah barat daya negeri itu kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Lim, 56, didakwa melakukan kesalahan itu semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Tingkat 28, Bangunan Komtar pada 18 Julai 2014.

Tuduhan kedua, Lim sebagai penjawat awam dituduh mendapatkan untuk dirinya satu lot tanah dan banglo di alamat No 25, Jalan Pinhorn pada harga yang dia tahu tidak sepadan dengan nilainya, daripada Phang pada harga RM2.8 juta sedangkan nilai pasaran ketika itu ialah RM4.27 juta.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di No 25, Jalan Pinhorn pada 28 Julai 2015.

Sebagai bekas pemilik banglo itu, Phang didakwa bersubahat dengan Lim untuk mendapatkan banglo berkenaan di bawah harga pasaran di tempat dan tarikh yang sama.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen