malaysiakini logo
story-image
ADS

Sudah berbulan-bulan berlalu namun belum ada laporan berkaitan salah laku dibuat terhadap bekas naib presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

Pengerusi Lembaga Disiplin PAS Dr Daeng Sanusi Mariok berkata pihaknya tidak dapat mengambil sebarang tindakan tanpa adanya laporan berkenaan.

"Kita (lembaga disiplin) tak boleh buat apa-apa tindakan melainkan ada laporan daripada pihak jawatankuasa tertinggi," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Mahfuz merupakan antara anggota PAS yang kerap mengeluarkan kenyataan tidak sehaluan dengan pendirian kepimpinan parti Islam berkenaan, termasuk presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Semenjak muktamar ke-61 PAS pada 2015, Mahfuz dilihat sentiasa bersikap sinikal terhadap parti itu ketika sebahagian besar kumpulan yang tidak sehaluan dengan aliran konservatif diketepikan dan kemudian menubuhkan Parti Amanah Negara (AMANAH).

Dalam keadaan begitu Mahfuz terus membawa haluan sendiri malah hadir menyertai ceramah AMANAH yang kini sangat dimusuhi majoriti pimpinan PAS.

Tindakan Mahfuz itu menyebabkan beliau digelar "harum manis"- merujuk kepada buah mangga yang berwarna hijau di luar dan isinya oren.

Bukan orang baru

Pertengahan Februari lalu, Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyarankan supaya Mahfuz meninggalkan PAS kerana sering mengkritik serta menyerang parti berkenaan.

Mahfuz juga pernah disaran agar meninggalkan PAS oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekiranya beliau tidak berpuas hati dengan keputusan yang dibuat serta berterusan mengkritik dan menyerang parti.

Mursyidul Am PAS Hashim Jasin pula dilaporkan berkata Mahfuz tidak lagi dianggap sebagai anggota parti itu dengan tindak-tanduk kontroversinya.

Februari lalu juga, Abdul Hadi mengesahkan ada menerima aduan dari akar umbi dan memberitahu bahawa anggota parlimen Pokok Sena berkenaan bakal berdepan tindakan disiplin ekoran kelantangannya mengkritik parti. 

Pada April pula, PAS Kedah dilaporkan menghantar aduan mengenai Mahfuz kepada pucuk pimpinan peringkat pusat untuk diteliti dan diambil tindakan. 

Bagaimanapun, sehingga hari ini tiada sebarang tindakan diambil terhadap Mahfuz. 

Untuk rekod Mahfuz bukanlah orang baru dalam PAS. Menyertai parti itu sebagai ahli biasa, beliau pernah dipilih untuk mengisi pelbagai jawatan penting termasuk ketua pemuda, ketua penerangan, pesuruhjaya negeri dan naib presiden PAS.

Belum ada terima

Daeng Sanusi berkata setakat ini Mahfuz kekal sebagai anggota PAS kecuali ada melakukan kesalahan yang ditetapkan dalam perlembagaan parti.

Jika berlaku, katanya, laporan harus dibuat kepada ibu pejabat PAS dan ia kemudian dirujuk pula kepada lembaga disiplin.

"Selepas itu baru lembaga disiplin boleh bertindak. 

"Sekarang ini tak ada apa-apa lagi laporan (yang diterima)," katanya. 

Malaysiakini sudah menghubungi Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan dan Ketua Penerangan Nasruddin Hassan untuk mendapatkan reaksi mereka berhubung isu ini.

Bagaimanapun belum ada mendapat sebarang jawaban daripada mereka setakat berita ini dimuat naik.

Lihat Komen