'Terima kasih PM, pendekkan perjalanan jumpa papa'

(Dikemaskini )

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar hari ini mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri atas pembinaan stesen kereta api MRT dari Sungai Buloh ke Kajang.

Katanya, kemudahan terbaru itu dapat memendekkan perjalanannya ke Sungai Buloh – tempat ayahnya Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dipanggilnya papa, dipenjarakan.

“Terima kasih @NajibRazak - pendekkan perjalanan dari Sungai Buloh @anwaribrahim ke Kajang,” tulis Nurul Izzah, yang turut menyebut nama ibunya Datuk Seri Wan Azizah Ismail yang juga presiden PKR.

Bagaimanapun tidak pasti sama ada kenyataan Nurul itu berunsur sindiran atau benar-benar dimaksudkannya.

Nurul juga meletakkan pautan ke blognya yang mendesak penubuhan jawatankuasa khas parlimen bagi memantai perjalanan pengangkutan awam, termasuk MRT.

Arikel itu membangkitkan persoalan sama ada pembinaan kemudahan itu telah melebihi peruntukan sedia ada kerana fasa pertamanya sejauh 53km sahaja sudah menelan belanja RM21 bilion.

Kata Nurul, projek itu mempunyai tiga fasa merangkumi laluan rel sepanjang 150km dan perdana menteri sudah umumkan peruntukan keseluruhan projek berkenaan RM40 bilion.

Nurul menulis demikian sebagai reaksi terhadap tweet Najib berkaitan perkara sama.

“Bermula esok, perjalanan untuk melawat kenalan di Sungai Buloh dari Kajang akan menjadi lebih mudah dan selesa! #JomNaikMRT,” katanya.

Bagaimanapun, Najib juga tidak jelas sama ada menyindir Anwar atau tidak.

Beliau minggu lalu pernah berbuat demikian dengan mengumumkan “Langkah Kajang Sebenar” akan tiba ke kawasan parlimen Azizah itu.

PKR sebelum ini menggerakkan Langkah Kajang untuk menyingkirkan menteri besar ketika itu Tan Sri Khalid Ibrahim dengan Anwar.

Bagaimanapun, ia berakhir dengan Datuk Seri Azmin Ali yang menerajui kepimpinan kerajaan Selangor.

Share