malaysiakini logo
story-image
ADS

Kerajaan akan memperkenalkan langkah baru bagi membela nasib pemandu teksi tradisional, kata Datuk Seri Nazri Aziz hari ini.

Menurut menteri pelancongan dan kebudayaan itu cadangan akan dikemukakan supaya pemandu teksi tradisional terbabit menjadi pemandu pelancong selepas menjalani kursus tertentu dengan kementerian berkenaan.

Mengakui sayang dan dekat dengan pemandu teksi tradisional, Nazri berkata langkah itu boleh membantu mereka kerana ada pelancong yang berminat menyewa perkhidmatan berkenaan untuk tempoh yang panjang.

"Teksi tradisional macam saya punya anak angkat.

"Saya tak bersimpati kepada mereka dan aya mesti membantu perkhidmatan teksi tradisional supaya mereka dapat bersaing menjadi lebih baik daripada perkhidmatan Uber," katanya kepada media hari ini.

Sebelum itu beliau melancarkan aplikasi e-hailing EzCab di Kuala Lumpur.

Quran saja tak boleh ubah

Teksi konvensional kini berdepan dengan persaingan baru dengan adanya perkhidmatan baru sepert Uber dan Grab yang menggunakan aplikasi lebih maju.

Nazri yang sebelum ini pernah dilantik menjadi menteri pembangunan usahawan yang turut menyelaras hal ehwal teksi berkata langkah penyesuaian itu diyakini boleh dilakukan tanpa banyak masalah.

"Apa yang kita tak boleh pinda cuma al-Quran saja. Hal-hal yang lain tu manusia yang buat.

"Suka hati sayalah kalau saya nak (pinda untuk) bantu pemandu teksi," katanya.

Beliau juga berkata akan meyakinkan kabinet bahawa cadangan itu adalah langkah terbaik untuk kerajaan membantu pemandu teksi tradisional.

Katanya langkah berkenaan juga akan membantu meningkatkan keyakinan orang ramai kepada pemandu teksi tradisional.

Mengenai pelaksanaan dan langkah penguatkuasaan pula, Nazri berkata, tindakan sewajarnya akan diambil untuk melindungi pemandu teksi terbabit.

Langkah itu, kata Nazri, bagi memberikan ruang persaingan seimbang antara perkhidmatan teksi tradisional dengan yang baru.

[Baca berita asal]

Lihat Komen