malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Laluan pertama MRT kini siap
Diterbitkan:  Jul 17, 2017 1:04 PM
Dikemaskini: 7:17 AM
ADS

Penumpang yang menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), Bas Rapid Transit (BRT) dan Monorel bermula esok akan menikmati potongan sebanyak 50 peratus.

Diskaun itu berlangsung hingga Hari Kemerdekaan ke-60 pada 31 Ogos.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan demikian semasa merasmikan pelancaran MRT Fasa Dua Laluan Sungai Buloh - Kajang hari ini, yang menyaksikan tiga laluan pertama projek itu disiapkan.

Ini termasuk membabitkan pembukaan 19 stesen tambahan di sepanjang laluan, yang kini bertambah sepanjang jarak 30 km. Stesen baru ini akan dibuka kepada orang ramai pada jam 4 petang hari ini dan perkhidmatan adalah percuma hingga stesen berkenaan ditutup pada tengah malam.

Fasa Pertama laluan berkenaan adalah antara Sungai Buloh dan Semantan yang mempunyai 12 stesen telah beroperasi pada 16 Disember tahun lalu.

Najib dalam ucapannya berkata, secara keseluruhannya projek MRT Laluan SBK berjaya disiapkan dengan kos sebanyak RM21 bilion.

"Kos asal pembinaannya ialah RM23 bilion namun pelaksanaannya dapat disiapkan dengan kos hanya RM21 bilion, kita dapat jimat RM2 bilion.

“Ini kejayaan yang boleh dibanggakan," katanya ketika berucap di majlis perasmian MRT Laluan SBK di Stesen Tun Razak Exchange, diKuala Lumpur, hari ini.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama memetik Najib sebagai berkata Projek Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) akan menjadi titik permulaan kepada lebih banyak projek 'infra-rakyat' di negara ini.

Perdana Menteri berkata pelbagai lagi projek akan dilaksanakan termasuk MRT kedua laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya; LRT3 Bandar Utama-Johan Setia; kereta api ke Pantai Timur; Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura; serta menaik taraf sistem monorail dan KTM.

"Ini semua akan dilaksanakan pihak kerajaan, apatah lagi apabila MRT3 atau MRT circle line siap, bererti menjelang tahun 2027 nanti, kita akan menyaksikan sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur yang bersepadu sepenuhnya. Inilah impian kita.

"Berdasarkan rekod prestasi, kita (kerajaan) akan dapat memenuhi objektif ini," katanya ketika merasmikan Fasa kedua MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) di stesen bawah tanah, Tun Razak Exchange di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, barisan menteri kabinet dan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Seri Shahril Mokhtar.

Najib berkata sejak mengambil alih kepimpinan negara, beliau sedar Kuala Lumpur sebagai ibu negara memerlukan jaringan sistem pengangkutan yang efisien dan boleh diharap dengan kadar berpatutan untuk semua golongan masyarakat.

"Kita sedar apabila melihat pengalaman di ibu kota lain di rantau ini, kesesakan lalu lintas amat teruk sehingga seseorang itu terpaksa menghabiskan masa selama lapan hingga 10 jam tiap-tiap hari di atas jalan raya.

"Sebelum perkara itu terjadi di Kuala Lumpur, kita perlu mengambil langkah awal untuk mengelak keadaan itu (kesesakan) kerana tanda-tanda sudah boleh dilihat terutama apabila keadaan hujan," tambahnya.

Katanya, dengan jaringan sistem pengangkutan yang terbaik, ia sekaligus dapat memberikan manfaat kepada rakyat seperti menjimatkan masa dan kos perjalanan ke sesuatu tempat, meningkatkan produktiviti dan semangat kerja selain membantu mengurangkan kos sara hidup.

Dalam pada itu, Najib yang juga Menteri Kewangan. berkata projek MRT Laluan SBK berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual asal iaitu pada hujung bulan ini selain menjimatkan sejumlah RM2 bilion kepada RM21 bilion daripada sasaran awal kos projek sebanyak RM23 bilion.

Selain itu, Najib berkata pelaksanaan projek berkenaan turut melibatkan 50 peratus syarikat bumiputera serta 51 peratus peniaga bumiputera di ruang perniagaan di stesen-stesen MRT.

"Apabila kita melakukan agenda bumiputera dalam pelaksanaan projek MRT, ia tidak mengganggu kelancaran projek kerana hanya yang betul-betul layak sahaja diberikan peluang. Bukan kita bagi kepada kroni," katanya.

Beliau berkata laluan MRT SBK sepanjang 51 kilometer (km) dengan 31 stesen itu bakal memberi manfaat kepada 1.2 juta rakyat Malaysia selain pelancong yang berkunjung ke ibu negara.

Katanya, projek berkenaan juga mampu memberi impak positif kepada alam sekitar kerana kira-kira 160,000 buah kenderaan dijangka tidak berada di atas jalan raya, sekali gus mengurangkan 752,000 tan pelepasan karbon dioksida setiap tahun.

Sementara itu, Najib mengumumkan pemberian diskaun sebanyak 50 peratus untuk tambang perkhidmatan MRT, LRT dan Monorail kepada semua pengguna bermula esok (18 Julai) sehingga 31 Ogos sempena hari kemerdekaan negara.

Fasa kedua MRT Laluan SBK terdiri daripada 19 stesen termasuk tujuh terletak di bawah tanah.

Stesen berkenaan adalah Muzium Negara, Pasar Seni, Merdeka, Bukit Bintang, Tun Razak Exchange Centre, Cochrane, Maluri, Taman Pertama, Taman Midah, Taman Mutiara, Taman Connaught, Taman Suntex, Sri Raya, Bandar Tun Hussein Onn, Batu Sebelas Cheras, Bukit Dukung, Sungai Jernih, Stadium Kajang dan Kajang.

Setiap tren MRT Laluan SBK mempunyai empat gerabak, membolehkan kapasiti sebanyak 1,200 penumpang setiap perjalanan dengan penumpang harian dianggarkan sebanyak 400,000 orang.

Tren ini akan bergerak pada frekuensi 3.5 minit pada waktu puncak.

Lihat Komen