malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MRT penanda aras masa depan pengangkutan awam
Diterbitkan:  Jul 16, 2017 11:12 PM
Dikemaskini: 3:15 PM
ADS

Sistem Transit Aliran Massa (MRT) menjadi penanda aras bagi semua perancangan masa depan pengangkutan awam yang mengambil kira keperluan kesalinghubungan serta peningkatan mutu kehidupan rakyat di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Mohd Azharuddin Mat Sah berkata kerajaan menjalankan pelbagai inisiatif di bawah Rancangan Induk Pengangkutan Awam Darat Negara sejak enam tahun lepas bagi mentransformasikan penggunaan pengangkutan awam darat, yang menyumbang kepada peningkatan jumlah penumpang harian kepada 1.1 juta hari ini.

"Tahun 2016 menyaksikan rangkaian pengangkutan awam darat 'Greater KL/Lembah Klang’ yang menerima pertambahan kapasiti ketara dengan pembinaan sambungan Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) dan pembukaan Fasa 1 MRT laluan Sungai Bulong-Kajang (SBK) merangkumi 12 stesen.

“Pelaksanaan penuh Fasa 2 MRT laluan SBK pada 17 Julai lepas yang menyambung laluan dari Semantan ke Kajang mampu menampung 400,000 penumpang harian selain menyumbang kepada peningkatan jumlah penumpang ke arah mencapai perkongsian mod 40 peratus pada 2030,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata perkhidmatan MRT secara keseluruhannya mempunyai anggaran masa perjalanan selama 84 minit (dari hujung ke hujung) dengan kekerapan 3.5 minit pada waktu puncak pada jarak laluan sejauh 51 kilometer (km).

“Perkhidmatan ini menyatupadukan tujuh stesen rel sedia ada serta berupaya menjimatkan masa perjalanan pengguna,” katanya.

Perkhidmatan itu menawarkan 14 stesen dilengkapi kemudahan parkir bagi memudahkan pengguna meletakkan kenderaan bagi menggunakan perkhidmatan MRT selain dilengkapi dengan 300 bas perantara yang beroperasi dalam lingkungan jarak antara 5 hingga 7km daripada laluan MRT.

Mohd Azharuddin berkata projek MRT Laluan 2:Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya dan LRT Laluan 3 (LRT 3):Bandar Utama-Johan Setia pula dijangka memberi peluang kepada pembangunan berorientasikan transit (TOD).

“Projek TOD akan membantu kerajaan mendapat pulangan kepada pelaburan besar yang disalurkan bagi meningkatkan perkhidmatan rel dalam bandar yang bertujuan memenuhi keperluan pertumbuhan jangka masa panjang 'Greater KL/Lembah Klang',” katanya.

 

-Bernama

Lihat Komen