malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Malaysia tak harus lindungi penjenayah 1MDB - Muhyiddin
Diterbitkan:  Jul 16, 2017 12:59 PM
Dikemaskini: 5:14 AM
ADS

Presiden Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Malaysia tiada harus melindungi penjenayah yang terlibat dalam skandal 1MDB selepas Singapura mengambil tindakan terhadap pegawai bank di republik itu.

Beliau merujuk kepada hukuman penjara selama 4 tahun 6 bulan ke atas bekas pengurus kekayaan BSI Bank Singapura, Yeo Jiawei kerana didapati bersalah melakukan jenayah penggubahan wang haram membabitkan urusniaga 1MDB.

"Tindakan mahkamah Singapura ini adalah konsisten dengan apa yang saya katakan selama ini bahawa terdapat bukti kukuh tentang jenayah penyelewengan wang 1MDB dan mereka yang terbabit mesti didakwa.

"Amatlah menghairankan apabila pihak berkuasa Singapura berjaya menemui bukti untuk mendakwa Yeo dan mensabitkan beliau atas kesalahan jenayah, tetapi Peguam Negara Malaysia tidak menemui apa-apa bukti untuk memulakan proses pendakwaan ke atas penyangak 1MDB di negara ini," katanya.

Jun lalu Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) memfailkan saman sivil kali ketiga bagi merampas aset bernilai AS$1.7 bilion yang didakwa diperoleh menggunakan wang 1MDB.

Bagaimanapun, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata tindakan DOJ berbaur politik dan ia tidak pernah membuat permohonan secara rasmi kepada pejabat peguam negara untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Pada Januari tahun lalu, Apandi membersihkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak daripada sebarang salah laku berkaitan 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International Sdn Bhd.

Apandi yang dilantik ke jawatan itu bagi menggantikan Tan Sri Abdul Gani Patail pada 2015 juga mendakwa RM2.6 bilion yang ditemui dalam akaun bank Najib merupakan derma daripada keluarga diraja Arab Saudi.

RCI perlu ditubuhkan segera

Muhyiddin berkata, pihak berkuasa Singapura juga telah menghentikan operasi BSI Bank dan Falcon Bank serta mendenda beberapa buah bank lain yang didapati terbabit dalam jenayah penggubahan wang haram melibatkan berbilion ringgit wang 1MDB.

Sehubungan itu katanya, sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu diwujudkan segera untuk menyiasat skandal kewangan yang disifatkan terbesar dalam sejarah negara.

"Mereka yang terbabit melakukan jenayah, termasuk penjawat-penjawat awam yang melindungi mereka perlu dihadapkan ke mahkamah. Malaysia tidak harus menjadi sebuah negara yang melindungi penjenayah," katanya.

Yeo, 34, mengaku bersalah terhadap tuduhan pengubahan wang haram dan penipuan dengan lapan lagi dakwaan lain.

Beliau kini sedang menjalani hukuman penjara 30 bulan selepas disabitkan dengan empat pertuduhan mengganggu saksi.

Antara lain, Yeo dilaporkan merujuk ahli perniagaan Malaysia, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low sebagai bosnya.

Jho Low bagaimanapun dilaporkan mendakwa tuduhan Singapura terhadapnya bermotifkan politik selepas menuduhnya menjadikan 1MDB sebagai mangsa.

Seorang jurucakap Low dipetik dalam satu laporan berkata cubaan untuk mengaitkannya dengan mereka yang mengaku bersalah dalam kes-kes mahkamah di Singapura berkaitan 1MDB adalah "berdasarkan kepada andaian yang tidak berasas".

Lihat Komen