malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Nazri enggan ulas kes Jho Low di Singapura
ADS

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz enggan mengulas perjalanan kes berkaitan hartawan Low Taek Jho dan 1MDB di Mahkamah Singapura.

Anggota Majlis Tertinggi Umno itu berkata, beliau tidak mempunyai fakta mengenai perkara itu.

"Saya tak tahu. Saya bukan menteri undang-undang. Saya menteri pelancongan.

“Jadi saya tak boleh nak kata setuju atau tidak dan saya tak boleh nak bersetuju sebab saya tidak mempunyai fakta berhubung perkara itu," jawab Nazri ringkas.

Anggota Parlimen Padang Rengas itu ditanya pemberita sama ada beliau bersetuju dengan kenyataan pendakwa Singapura bahawa 1MDB menjadi mangsa kepada Low yang lebih dikenali sebagai Jho Low.

Bloomberg semalam melaporkan bahawa pendakwa di Singapura memberitahu mahkamah bahawa Low adalah pihak utama dalam siasatan yang dikaitkan dengan 1MDB, dan telah menyalahgunakan wang dana itu.

1MDB dikatakan menjadi mangsa utama dalam kes itu.

Bagaimanapun, Low berkata tuduhan pihak berkuasa Singapura terhadapnya bermotifkan politik.

Jurucapap beliau dilaporkan berkata percubaan mengaitkan Low dengan pihak yang mengaku bersalah dalam ke berkaitan 1MDB adalah "berasaskan kepada andaian yang tidak berasas".

Semalam, bekas perancang harta tanah BSI Singapura Yeo Jiawei dijatuhi hukuman penjara 54 bulan selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan pengubahan wang haram dan tuduhan menipu yang dikaitkan dengan 1MDB.

Yeo dilaporkan merujuk Low sebagai "bos".

Lihat Komen