malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
DAP beri tempoh 48 jam pada ROS
Diterbitkan:  Jul 12, 2017 3:36 PM
Dikemaskini: Jul 14, 2017 3:12 AM
ADS

DAP memberi tempoh 48 jam kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk menyerahkan surat arahan supaya parti itu mengadakan pemilihan semula jawatankuasa eksekutif pusatnya (CEC).

"Jika gagal sama ada melalui surat atau sebaliknya sehingga waktu pejabat Jumaat ini, DAP tidak ada pilihan kecuali mempertimbangkan pilihan yang ada bagi menangani situasi ini," kata Ketua Biro Undang-undang DAP, Gobind Singh Deo dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Gobind, DAP tidak boleh mengadakan pemilihan semula CEC tanpa makluman rasmi daripada ROS.

"Memaksa kami (mengadakan pemilihan semula tanpa surat rasmi) adalah amat tidak munasabah.

"Justeru surat berkenaan sangat penting kepada kami.

"Ia mesti menyatakan dengan jelas sebarang keputusan yang diambil dan arahan yang perlu kami patuhi," katanya.

Pada 7 Julai lalu ROS - melalui kenyataan media - menyatakan DAP perlu mengadakan pemilihan semula selepas mendapati pelantikan anggota CEC dan pemegang jawatan utama parti berkenaan pada 29 September 2013 tidak sah.

Bawa ke mahkamah

Ketua Pengarah ROS Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata beliau mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum membuat ketetapan berkenaan.

Ahmad Zahid kemudian menyarankan supaya apa juga tindakan yang diambil oleh ROS hendaklah berlandaskan Akta Pertubuhan 1966 dan perlembagaan DAP.

DAP mengadakan pemilihan baru untuk mengisi jawatan CEC parti berkenaan pada 2013 selepas pemilihan awal - pada 15 Disember 2012 - berlaku kesilapan.

Keputusan pemilihan itu kemudian dimaklumkan kepada ROS pada 8 Nov 2013 seperti yang terkandung dalam Akta Pertubuhan 1966 dan perlembagaan DAP.

Bagaimanapun ROS tidak mengiktiraf pemilihan itu dan DAP membawa isu berkenaan ke mahkamah.

Saman itu bagaimanapun ditarik balik selepas peguam ROS memberitahu mahkamah, pihaknya "mengakui CEC DAP yang dipilih pada 29 Sept 2013 boleh menjalankan semua kuasa, fungsi dan tugasnya dalam pentadbiran hal ehwal harian DAP mengikut perlembagaan DAP ".

[Baca berita penuh]

Lihat Komen