malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Gesaan Rafizi boikot IPO Edra bermotif politik'
ADS

Tidak masuk akal dan hanya bermotifkan politik – inilah pandangan Ahli Parlimen Setiawangsa Datuk Fauzi Zahari terhadap gesaan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli supaya pelabur institusi bertindak memboikot tawaran awal awam (IPO) oleh Edra Power Holdings Sdn Bhd.

Kenyataan Fauzi adalah senada dengan kritikan keras terhadap Rafizi termasuk yang disuarakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang menyamakannya dengan tindakan mensabotaj ekonomi.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Ghani turut mengecam Rafizi dan menegaskan bahawa syarikat berkaitan kerajaan dan firma pelaburan sememangnya bebas untuk melaksanakan sebarang usaha wajar serta memutuskan sama ada mahu melabur dalam cadangan IPO yang dijangka dilaksanakan pada tahun ini.

"Gesaan Rafizi supaya IPO itu diboikot adalah sesuatu yang tidak berasas dari segi kewangan dan dibuat tanpa mengutamakan kepentingan negara sebaliknya hanya bermotifkan politik," kata Fauzi kepada Bernama.

Tegas Fauzi, Edra yang juga Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) kedua terbesar di Malaysia juga bukannya calang-calang syarikat dalam perniagaan tenaga kerana turut bertapak di peringkat global menerusi loji tenaga di Bangladesh serta Mesir.

Malah, Edra berada dalam lima jajaran ekonomi serantau merangkumi kira-kira 65 negara dengan nilai gabungan perdagangan berjumlah US$21 bilion (US$1 = RM4.29).

Fauzi berkata China General Nuclear (CGN) yang juga pemilik 100 peratus Edra dan disenaraikan di Bursa Hong Kong, juga mencatat perolehan sebanyak 25 bilion renminbi atau US$4 bilion – US$5 billon pada 2015 dengan keuntungan bersih mencecah US$1.2 bilion.

"Sehubungan itu, IPO Edra itu sepatutnya dilihat sebagai peluang besar untuk rakyat tempatan dan pelabur institusi Malaysia melabur dalam satu perniagaan yang mampu memberi pulangan baik secara konsisten berikutan kedudukannya di peringkat global," katanya.

Menurut Fauzi, sejajar kelebihan rekod pencapaian CGN, Edra boleh memutuskan supaya IPO itu dibuat di Singapura, Hong Kong atau lokasi lain namun ia sebaliknya memilih Malaysia yang turut mencerminkan keyakinan kukuh terhadap negara ini.

"Apa lebih penting adalah bukannya apa yang diperkatakan oleh seorang ahli politik individu tetapi pandangan para pelabur selepas melakukan usaha sewajarnya di peringkat masing-masing.

"Para pelabur institusi seperti Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpana Pekerja (KWSP) misalnya telah lama memberi pulangan baik kepada pelabur. Sebagai contoh, KWSP memberi pulangan pelaburan sebanyak 5.0 hingga 6.0 peratus dan memiliki kelayakan untuk membuat penilaian sama ada mahu menyokong sebarang IPO atau sebaliknya," katanya.

Ahli Parlimen itu turut mengimbas rasa tidak puas hati ramai terhadap keputusan KWSP membeli syarikat konsesi lebuh raya PLUS Malaysia Bhd pada harga RM23 bilion namun urus niaga itu pada akhirnya terbukti membawa pulangan baik secara konsisten selama kira-kira 30 tahun setakat ini.

"Malaysia adalah sebuah negara kecil. Kita perlu (berani) menembusi peringkat antarabangsa atau akan ketinggalan. CGN misalnya, boleh saja memilih untuk ke negara lain. Malah, negara-negara yang kita pernah labelkan sebagai ketinggalan dari segi ekonomi seperti Vietnam dan Laos juga terus berkembang pesat.

"Oleh itu, usahlah kita dikaburi dengan kekaburan politik yang dicetuskan oleh tindak-tanduk segelintir ahli politik yang tidak menyukai sesebuah syarikat dan mengheret sama pihak lain untuk turut membencinya. Pada kesudahannya, ini akan hanya merugikan negara dan rakyat," katanya.

-Bernama

Lihat Komen