malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
'Komen Anwar tak penting, selagi Pusat faham'
ADS

Menteri Sarawak Stephen Rundi Utom menafikan kerajaan negeri itu kurang yakin dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) dan oleh sebab itu menghantar pasukan peguam ke London bagi mengkaji Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Stephen, yang juga setiausaha agung BN Sarawak, berkata demikian ketika menolak dakwaan pemimpin pembangkang yang dipenjarakan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa langkah itu menunjukkan kerajaan negeri kurang yakin dengan AGC.

“Sudah tentu kami nafi dakwaan Anwar,” katanya dalam pesanan teks.

“Ini pasukan pengumpul maklumat. Kita sedar betapa pentingnya mempunyai fakta yang tepat sebelum bercakap lanjut soal penurunan kuasa dan kerajaan negeri tiada motif tersembunyi.

“Pada kami, fakta sebenar itu penting dan komen Anwar tidak berapa penting untuk kami selagi kerajaan persekutuan faham hasrat kami,” kata Stephen, yang memegang portfolio bekalan air dan tenaga luar bandar.

Anwar pada 9 Julai berkata langkah merujuk kepada firma guaman di United Kingdom membayangkan Sarawak kurang yakin dengan AGC untuk memberikan pentafsiran bebas dan adil.

Menurut Anwar, langkah itu, termasuk penubuhan syarikat Petroleum Sarawak (Petros) berpunca daripada persepsi bahawa kerajaan negeri sebelum ini mengabaikan kepentingan rakyat.

Sementara itu, Ketua Pemuda BN Sarawak Fadillah Yusof pula berkata Anwar hanya membuat kenyataan populis.

Minggu lalu, Ketua Menteri Sarawak Datuk Abang Johari Tun Openg mengumumkan kerajaan negeri akan menghantar sepasukan peguam ke London untuk mencari dan mengkaji bahan rujukan berkaitan hak negeri mengikut Perjanjian Malaysia 1963.

Pasukan itu akan diketuai Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Persekutuan-Negeri dan Pemantauan Projek Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Lihat Komen