malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dr M yakin tidak menyesal tak jadikan Anwar PM
ADS

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin akan menjadi perdana menteri tetapi menegaskan beliau tidak menyesal apabila memecat bekas timbalan perdana menteri itu pada tahun 1998.

Mahathir dalam wawancara dengan The Guardian berkata beliau tidak membantah Anwar menjadi perdana menteri, menyebabkan akhbar itu melaporkan beliau mengakui kecewa kerana tidak membenarkan bekas timbalannya itu menggantikannya.

Bagaimanapun, Mahathir hari ini menafikannya.

"Banyak orang memetik kata-kata saya atau bercakap tentang saya yang tidak betul," katanya kepada wartawan di Kuala Lumpur.

Ditanya lebih lanjut sama ada beliau menyesal kerana tidak membenarkan Anwar menggantikannya sebagai perdana menteri, Mahathir berkata beliau tidak bercakap apa-apa mengenainya.

"Apa yang sudah, sudah. Apa yang kita mahu sekarang adalah Najib mesti buang, itu sahaja. Itu semua kita setuju. Kalau kita bercakap tentang masa lalu dah tentu kita akan menghadapi banyak masalah," katanya.

Mahathir dipetik The Guardian sebagai berkata beliau tidak menolak kemungkinan Anwar sebagai perdana menteri jika boleh mendapatkan pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.

Mahathir bagaimanapun menegaskan bahawa ini hanya mungkin berlaku jika pembangkang memenangi pilihan raya dan perdana menteri yang baru perlu berusaha untuk membebaskan Anwar daripada penjara.

"Jika pembangkang menang, perdana menteri baru yang ketujuh akan berusaha membebaskannya. Sehingga itu, dia tidak boleh menjadi PM," kata Mahathir.

'Najib yang U-turn'

Mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Said Othman (gambar), yang menyatakan beliau melakukan 'U-turn', Mahathir menafikannya.

"Bukan saya yang U-turn. Najib yang U-turn. Daripada parti yang baik yang boleh perintah negara dengan baik, dia jadi parti yang terkotor sekali dalam dunia.

"Satu daripada 10 negara paling korup dalam dunia. Itulah mereka yang melakukan U-turn. Kalau mereka ikut jalan yang sama yang saya ambil sebelum ini, tidak ada U-turn. Itu jalan yang lurus," katanya.

Mahathir juga menafikan pernah mengatakan bahawa seorang yang dituduh homoseksual tidak boleh menjadi perdana menteri.

"Apa yang saya katakan ialah orang yang telah disabitkan kesalahan tidak boleh menjadi perdana menteri," katanya.

Anwar menjalani hukuman penjara lima tahun atas kesalahan liwat kali kedua, namun beliau dan kumpulan hak asasi menegaskan pendakwaan itu bermotifkan politik.

Dipenjarakan pada Februari 2015, Anwar tidak dibenarkan bertanding dalam politik selama lima tahun selepas dibebaskan.

Anwar pertama kali dipenjara kerana rasuah dan liwat pada 1998, di mana Mahathir dituduh menguasai pihak pendakwaan.

Lihat Komen