malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mahkamah arah polis pulangkan aset ahli perniagaan
ADS

Seorang ahli perniagaan di Johor berjaya mendapatkan perintah dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur agar polis mengembalikan asetnya yang bernilai jutaan ringgit.

Aset berkenaan dilelong oleh pihak polis pada tahun 2015 selepas Ahmad Azhan Gelang Sebar, ditahan pada 24 Oktober 2013 kerana disyaki mengedar dadah.

Dia ditahan reman selama 22 hari tetapi pihak pendakwaan tidak mengenakan sebarang tuduhan terhadapnya.

Bagaimanapun, asetnya, termasuk kereta mewah, jam tangan mahal, barang kemas dan wang tunai RM258,664 telah disita oleh polis pada 12 November 2013, di bawah Seksyen 32 (2) Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan harta) 1988.

Item itu dilelong dua tahun lalu tanpa pengetahuan Ahmad Azhan.

Antara lebih 30 barangan yang disita dan dilelongkan ialah gelang, loket, cincin emas, jam tangan Rolex, anting-anting, kalung, jam tangan Chopard dan kereta Toyota Supra JZA 80.

Ini berlaku apabila Ahmad Azhan dan peguamnya cuba mendapatkan aset tersebut pada tahun 2015 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, apabila kes itu dihantar ke Mahkamah Sesyen. Walaupun kes itu di bawah pengurusan kes di Mahkamah Sesyen, Ahmad Azhan gagal menghadiri prosiding, di mana mahkamah memerintahkan asetnya dilucuthakkan, kata peguamnya Hariharan Tara Singh.

Hariharan berkata mereka memfailkan cabaran perlembagaan di Mahkamah Tinggi untuk membolehkan mereka mencabar perlucutan hak di Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan semula harta itu.

Mahkamah tertinggi itu, katanya, memerintahkan supaya mereka kembali ke Mahkamah Sesyen untuk perbicaraan.

Bagaimanapun, semasa prosiding Mahkamah Sesyen, pihak pendakwaan memaklumkan bahawa barang-barang itu telah dilelong.

Hari ini, Hakim Mahkamah Sesyen Harmi Thamri Mohamad memerintahkan polis memulangkan barangan itu kerana mahkamah mendapati Ahmad Azhan tidak terlibat dalam aktiviti dadah.

"Pemohon juga memperoleh aset dari segi undang-undang," kata Harmi Thamri.

Walaupun mahkamah mengeluarkan perintah itu, Hariharan tidak pasti bahawa item itu boleh dikembalikan.

Difahamkan bahawa barangan tersebut dilelong di bawah harga pasaran. DPP Ahmad Nazneen Zulkifli mewakili pihak pendakwaan.

 

Lihat Komen