malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pua: Najib tiada locus standi untuk saman fitnah saya
ADS

Setiausaha publisiti DAP Tony Pua berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan saman kedua terhadapnya.

Ini kerana katanya, ia berkaitan dengan prestasi dan tugas Najib sebagai perdana menteri, menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Selain itu, Pua menyatakan dalam pembelaannya bahawa Najib merupakan seorang anggota Parlimen Pekan dan saman yang difailkan pada April lepas adalah atas kapasiti jawatan rasminya, kelakuannya dan tanggapan bahawa beliau adalah tokoh awam.

"Tingkah laku (Najib), perbuatan, prestasi dan keputusan Najib adalah tertakluk kepada perbincangan dan kritikan awam kerana ia berkaitan dengan kapasiti rasmi beliau dalam memegang jawatan.

"Ini bukan tindakan yang dibawa oleh plaintif (Najib) dalam kapasiti peribadinya, atau tindakan yang mampu dilakukannya atas kemampuannya sendiri. Memandangkan perkara yang ditonjolkan, plaintif tidak mempunyai locus standi untuk menyaman fitnah atau memulakan tindakan ini," katanya.

Malaysiakini telah melihat salinan pembelaan Pua terhadap saman kedua Najib yang difailkan pada Mei lalu. Najib memfailkan saman kedua terhadap Pua berhubung kenyataan di Facebook pada April lepas.

Presiden Umno itu mendakwa bahawa kata-kata yang digunakan dalam penyiaran video di Facebook Pua menunjukkan bahawa beliau telah menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri dengan mengarahkan kabinet melalui speaker Dewan Rakyat untuk membenarkan pembentangan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) oleh presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi mengalih perhatian daripada isu 1MDB.

Beliau juga mendakwa perkataan Pua yang tersirat menunjukkan bahawa beliau (Najib) telah berkomplot dengan PAS untuk memecahkan undi Melayu di kalangan pembangkang dan mengamalkan politik kotor untuk terus berkuasa.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen