malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tindakan DOJ memalukan, kata ahli MT Umno
Diterbitkan:  Jul 6, 2017 2:28 PM
Dikemaskini: 6:35 AM
ADS

Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) tidak mendapat maklumat yang tepat apabila memfailkan saman sivil untuk merampas aset yang didakwa dibeli menggunakan wang 1MDB, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Ab Aziz Kaprawi.

Menurut Aziz, saman sivil itu juga mempunyai kejanggalan ketara apabila pihak 1MDB mahupun presidennya, Arul Kanda Kandasamy tidak dipanggil untuk memberi sebarang kenyataan.

"Tindakan DOJ ingin memfailkan saman sivil ini adalah memalukan kerana bertindak melalui maklumat yang tidak tepat dan tidak sah.

"Saya ingin mempersoalkan di manakah letaknya integriti dan 'good governance' serta apakah pula SOP siasatan yang digunakan oleh DOJ melalui akta kleptokrasinya ini sehinggakan ada yang mengatakan akta ini menjadi lesen untuk merampas harta milik negara atau individu lain," kata Aziz.

Aziz merujuk saman terbaru DOJ bagi merampas aset yang didakwa dibeli menggunakan wang yang diseleweng daripada dana 1MDB.

Antara lain, jabatan itu mendakwa ahli pernigaan Malaysia, Jho Low menghadiahkan berlian merah jambu 22 karat bernilai AS$27.3 juta kepada isteri Malaysian Official 1 (MO1).

Menteri di Jabatan perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan tahun lalu dalam temubual dengan BBC memberitahu MO1 adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pada Januari tahun lalu, peguam negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali membersihkan Najib daripada sebarang salah laku berkaitan 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.

Apandi juga mendakwa RM2.6 bilion yang ditemui dalam akaun bank Najib merupakan derma dari kerabat diraja Arab Saudi.

Sambil mempertahankan perdana menteri dan isterinya, Aziz berkata DOJ sepatutnya merujuk kepada pihak berkuasa Malaysia yang telah menjalankan siasatan dan membebaskan 1MDB daripada sebarang salah laku jenayah.

"Pihak DoJ sekiranya ingin membuka fail siasatan saman sivil ini perlu menjalankan secara menyeluruh dan bukannya sekadar menerima laporan daripada pihak yang tidak dikenali mahupun mendapat petunjuk daripada portal online yang tidak sah dan mempunyai kecenderungan terhadap parti pembangkang iaitu Sarawak Report," katanya.

Tambahnya, sejarah menunjukkan hampir semua campur tangan Amerika Syarikat telah memusnahkan keharmonian dan menjejaskan kestabilan di negara-negara tersebut.

Lihat Komen