malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Setelah 104 kali 'Selasa depan' berlalu, sindir PKR
Diterbitkan:  Jul 5, 2017 10:25 PM
Dikemaskini: 2:28 PM
ADS

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, hari ini genaplah dua tahun sejak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuat pengumuman akan menyaman akhbar The Wall Street Journal (WSJ) pada hari 'Selasa depan'.

Namun, sindir Fahmi, ini bermakna 104 kali 'Selasa depan' telah berlalu tanpa sebarang tindakan saman terhadap WSJ oleh Najib.

"Sejak pengumuman 'bersejarah' dua tahun lalu itu, bukan sahaja Najib masih menantikan 'Selasa depan' untuk menyaman WSJ, malah para netizen juga masih menantikan (tindakan) isterinya.

"Para netizen juga masih menantikan tindakan Datin Seri Rosmah Mansor menyaman tujuh laman web dan akaun Twitter yang mendakwa beliau menerima rantai berlian bernilai RM117 juta dihadiahkan oleh Jho Low," kata Fahmi dalam kenyataan.

Tidak sampai tiga minggu yang lalu, Rosmah mengarahkan peguamnya untuk memantau media sosial berkaitan "serangan dan tuduhan palsu" terhadap beliau.

Menurut firma undang-undang NoorHajran Mohd Noor, peguam mereka "memantau semua catatan dalam mana-mana platform media sosial dan sebarang bentuk penerbitan lain berkaitan serangan palsu dan berniat jahat" terhadap anak guamnya itu.

"Baru-baru ini, lebih banyak serangan yang berniat jahat dan tidak berasas muncul dan dibuat terhadap Rosmah Mansor di blog dan media sosial.

"Serangan ini adalah tuduhan palsu yang dibuat tanpa sebarang bukti dan/atau asas, dilakukan dengan niat jahat semata-mata untuk memburuk-burukkan nama baik Rosmah atas dakwaan salah laku yang menjejaskan reputasi beliau," kata firma itu lagi.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, umum sedar pengumuman tindakan saman oleh Najib dan isteri beliau berkait dengan dakwaan-dakwaan yang cukup besar.

"Berapa banyak 'Selasa depan' lagi yang perlu rakyat Malaysia tunggu sebelum Najib menyaman WSJ kerana jika selepas 104 kali 'Selasa depan' pun masih tidak saman, maka persepsi orang ramai terhadap semua dakwaan akan mengukuh," tambahnya.

Lihat Komen