malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Rafizi congak minyak naik, cadang harga siling RM1.80
Diterbitkan:  Jul 5, 2017 3:06 PM
Dikemaskini: 7:13 AM
ADS

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mencongak harga petrol gred RON95 akan naik antara dua hingga tiga sen selama dua minggu bermula tengah malam ini.

Ini adalah berdasarkan jumlah kiraan harga RON95 yang merujuk kepada laporan Means of Platts Singapore (MOPS), kata beliau yang juga naib presiden PKR dalam kenyataan.

"Harga RON95 dijangka naik antara dua hingga tiga sen bermula malam ini.

"Oleh kerana harga minyak mentah juga mula naik kembali sejak minggu lepas, maka suasana harga RON95 naik setiap minggu ini dijangka berterusan minggu depan sebanyak 2 ke 3 sen lagi," jelas beliau.

Pada masa yang sama, Rafizi turut mencadangkan kerajaan agar menetapkan harga siling gred itu pada paras RM1.80 seliter.

"Mengambil kira suasana pasaran harga minyak mentah yang berlegar di antara AS$45 ke AS$55 setong dalam tempoh enam bulan lepas, saya mencadangkan harga siling sebanyak RM1.80 seliter (iaitu harga RON95 mengikut formula pada harga minyak mentah Brent sekitar USD45 setong)," ujar beliau.

Kira-kira dua bulan yang lalu, Barisan Nasional mendakwa Malaysia merupakan antara 10 negara minyak termurah dunia dan jauh lebih murah berbanding Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Oman.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, kaedah harga petrol bersubsidi yang tertakluk kepada kuota setiap pengguna layak diperkenalkan bagi mengelakkan rakyat terkena tempias kesan negatifnya.

"Saya telah lama mengutarakan cadangan ini yang saya masukkan di dalam buku bertajuk Panduan Bina Semula Negara”yang dilancarkan dua bulan lalu," katanya.

Kaedah itu boleh diguna pakai dengan semua rakyat Malaysia yang mempunyai lesen memandu berhak membeli minyak bersubsidi tertakluk kepada jumlah penggunaan maksima bulanan, menurutnya.

Selagi penggunaan tidak melebihi jumlah pengunaan maksima bulanan, harga petrol dan diesel yang dibayar adalah harga bersubsidi manakala bagi setiap liter yang digunakan melebihi jumlah penggunaan maksima bulanan, pengguna perlu membayar harga penuh tanpa subsidi, katanya.

"Sistem subsidi yang tertakluk kepada jumlah penggunaan maksima bulanan ini akan beroperasi menggunakan MyKad di stesen-stesen minyak.

"Kerajaan akan membangunkan satu perisian yang boleh menyimpan maklumat penggunaan minyak bersubsidi. Setiap kali pengguna membeli minyak, mereka akan memasukkan MyKad untuk merekodkan jumlah pengunaan minyak bersubsidi," tambah Rafizi.

Selain itu, Rafizi turut mencadangkan jumlah minyak bersubsidi tahunan ditetapkan pada jumlah 20 peratus dari keseluruhan penggunaan petrol dan diesel tahunan.

"Berdasarkan jawapan Parlimen yang diberikan dalam tahun 2014, jumlah penggunaan petrol dan diesel oleh rakyat Malaysia setahun (bagi tahun 2017) diunjurkan sebanyak 27 bilion liter setahun.

"Oleh itu, sebanyak 5.4 bilion liter petrol dan diesel bersubsidi diperuntukkan kepada rakyat Malaysia setahun dan jumlah penggunaan maksima bulanan untuk setiap rakyat Malaysia yang layak boleh ditetapkan menggunakan had tahunan itu," jelas beliau lagi.

Bagi menjadikan cadangan itu sebagai realiti, kata Rafizi, pihaknya akan turun berkempen di seberapa banyak kawasan Parlimen untuk mendapat sokongan rakyat agar sistem penetapan harga minyak subsidi berkuota ini diguna pakai.

Jika berjaya dilaksanakan, tambahnya, ia dapat mengatasi masalah kenaikan harga barang yang dihadapi rakyat sekarang.

Lihat Komen