malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
FGV: Peneroka mahu selesai dengan baik, kata Shahrir
Diterbitkan:  Jul 4, 2017 9:08 PM
Dikemaskini: 1:11 PM
ADS

Peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mahu kemelut Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) berkesudahan dengan baik, kata Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Beliau berkata walaupun kemelut syarikat senaraian awam itu tidak akan menjejaskan peneroka, namun rata-rata peneroka yang ditemuinya menyatakan harapan agar FGV menjadi sebuah syarikat yang ditadbir urus dengan baik dan kembali fokus kepada usaha mencapai keuntungan.

"Peneroka juga merupakan pelabur dan pemegang saham, selagi pengurusan baharu, lembaga pengarah baharu dan kesudahan kepada siasatan yang baik, pelaburan peneroka adalah selamat dan terjamin.

"Semua mempunyai harapan dan positif bahawa akhirnya ada kesudahan yang baik kepada FGV," katanya pada sidang media selepas mesyuarat mengenai persiapan Sambutan Hari Peneroka Peringkat Kebangsaan 2017, hari ini.

Ditanya mengenai kepercayaan keseluruhan 112,635 keluarga peneroka terhadap FGV, beliau berkata operasi anak syarikat Felda itu berjalan seperti biasa dan pengurusannya mampu untuk menjalankan tanggungjawab mereka.

Mengenai siasatan dalaman FGV, Shahrir enggan mengulas lanjut dan menyerahkan kepada lembaga pengarah FGV untuk menyelesaikan perkara itu.

Kemelut FGV mendapat perhatian apabila bekas Pengerusinya Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan Lembaga Pengarahnya mengarahkan Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Datuk Zakaria Arshad serta tiga pegawai pengurusan kanan FGV bercuti bermula 6 Jun lalu.

Tiga pegawai kanan itu ialah Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan FGV, Ahmad Tifli Mohd Talha, Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Sdn Bhd, Kamarzaman Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar.

Isa dilaporkan berkata arahan bercuti itu bagi membolehkan siasatan dalaman berhubung urus niaga FGV dan Safitex Trading LLC, sebuah syarikat Afghanistan.

Bagi mencari penyelesaian terhadap kemelut pentadbiran FGV itu, kerajaan melantik bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala sebagai pihak bebas untuk menangani kemelut itu.

Mengenai Sambutan Hari Peneroka Peringkat Kebangsaan 2017, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim yang turut serta pada sidang media itu, berkata kira-kira 30,000 pengunjung akan hadir pada program itu yang akan diadakan di Dataran Putrajaya, di sini pada 21 hingga 23 Julai ini.

Katanya program Ekspresi Felda Negaraku Malaysia akan turut diadakan sempena sambutan itu yang menyenaraikan kira-kira 50 aktiviti menarik, bertujuan menunjukkan sumbangan dan kejayaan Felda kepada masyarakat umum.

"Ada banyak cerita-cerita positif Felda yang tidak dapat kita kongsi kerana kita terlalu sibuk dengan masalah lain. Kita tidak nafikan masalah itu wujud, tetapi pada masa yang sama kita juga tidak patut ketepikan pencapaian peneroka kita," katanya.

Antara acara yang akan diadakan adalah karnival jualan murah, gerai makanan dan trak makanan, ‘Meneroka Felda bersama Upin Ipin’, pameran produk inovasi Felda serta Konsert Ekspresi Negaraku melibatkan artis generasi Felda.

- Bernama

Lihat Komen