malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
RCI 1MDB: PAS akan serah memo kepada Agong
Diterbitkan:  Jul 3, 2017 9:22 PM
Dikemaskini: 1:27 PM
ADS

PAS bersama Gagasan Sejahtera akan membawa memorandum bagi pembentukan Suruhanjaya Diraja (RCI) untuk menyiasat skandal 1MDB kepada Yang Dipertuan Agong, kata Anggota Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Khairudin Aman Razali At-Takiri.

"Sebagai warganegara, kita menegaskan kerajaan Malaysia perlu segera membentuk RCI bagi menyiasat tuduhan ketirisan dana 1MDB ini," kata beliau dalam kenyataan.

Pada masa yang sama, Khairudin turut meminta agar rakyat Malaysia tidak teruja dengan penyiasatan oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat yang mencemarkan nama negara.

"Usah diharapkan keadilan daripada sebuah negara yang telah terbukti gagal bersikap adil terhadap umat Islam di pentas antarabangsa seperti isu Palestin dan Iraq.

"Motif Amerika Syarikat yang menganggap mereka sebagai polis dunia juga perlu dilihat dan direnung.

"Masalah negara sendiri perlu diselesaikan dengan cara kita sendiri tanpa melibatkan orang luar," kata beliau lagi.

Semalam Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man turut menyuarakan nada yang sama supaya kerajaan mengeluarkan kertas putih supaya tiada mana-mana pihak mengambil kesempatan atas isu berkenaan.

"Isu ini perlu diselesaikan dalam negara secepat mungkin supaya tiada pihak yang boleh mengambil kesempatan ke atasnya.

"Walaupun PAS mempunyai pengalaman pahit berhubung kertas putih dalam isu Memali - apabila kertas putih itu pun telah menjadi kelabu asap - tapi itu sahaja pilihan yang ada sementara semua parti politik menanti keputusan rakyat di PRU ke-14," kata Tuan Ibrahim lagi.

Mengulas lanjut, Khairudin berkata, sepanjang pemerintahan Barisan Nasional, negara telah menyaksikan pelbagai skandal termasuk skandal urus niaga mata wang asing (forex) melibatkan puluhan juta di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad.

Selain skandal forex, negara juga terpaling dengan isu lain seperti BMF dan Perwaja.

"Dasar pemerintahan yang tidak merujuk kepada Islam akan tetap dilanda oleh pelbagai kemelut dan skandal kerana ia diuruskan oleh jiwa yang tidak meletakkan pertimbangan syurga dan neraka.

"Individu yang hari ini dilihat menentang BN juga tidak sunyi daripada pelbagai tuduhan dan skandal ketika mereka berada dalam kerajaan," katanya lagi.

Oleh itu, jelas beliau, PAS menegaskan bahawa negara perlu ditadbir dengan Islam kerana pengurusan kewangan berasaskan riba, perlakuan rasuah dan ketirisan kewangan adalah kemungkaran.

"Dasar percukaian seumpama GST juga adalah kemungkaran. Meninggalkan undang-undang jenayah Islam sehingga berleluasa jenayah berat seperti curi, rompak, rogol juga adalah kemungkaran.

"Jangan hanya menentang kemungkaran rasuah tetapi membiarkan kemungkaran lain termasuk mengabaikan undang-undang jenayah Islam," tambah Khairuddin.

Lihat Komen