malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Anggota Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berjanji berusaha akan "memendekkan" usia perkhidmatan Tan Sri Isa Abdul Samad sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD).

"Kita ingat kita dah halau dia (Isa Samad) dari Felda dia bersaralah, rupanya dia datang ke SPAD pula.

"Cuma saya nak sebut kepada sahabat-sahabat hari ini seperti mana kita berjaya halau dia daripada FELDA.

"Insya-Allah dengan bantuan saudara dan saudari kita juga boleh pendekkan masa Isa di SPAD seperti mana pendeknya dia," kata Rafizi.

Ucapan itu disambut tepukan gemuruh pemandu teksi yang hadir.

Rafizi berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 200 pemandu teksi yang hadir pada Kongres Himpunan Warga Teksi Malaysia di Dewan Sivik Petaling Jaya, hari ini.

Kongres itu dianjurkan Pertubuhan Kesepakatan Pemandu Teksi, Kereta Sewa, Limo Premier Eksekutif (Perjiwa) Malaysia.

Persatuan itu ditubuhkan untuk memperjuangkan nasib dan kebajikan pemandu-pemandu teksi di seluruh negara.

Rafizi bagaimanapun tidak mengulas panjang langkah yang akan diambilnya itu.

Terdahulu Rafizi berkata beliau hadir hari ini “untuk berkongsi berita buruk” mengenai pelantikan Isa.

"Saya datang hari ini bukan nak merasmikan sangat. Tetapi sebab saya datang hari ini juga adalah (susuklan) berita buruk yang terbaru kepada pemandu teksi dan industri pengangkutan awam keseluruhannya apabila sahabat baik saya Tan Sri Isa Samad dilantik sebagai pengerusi SPAD," katanya.

Malaysiakini sedang mendapatkan penjelasan lanjut Rafizi susulan kenyataan itu. Portal ini juga telah menghubungi Isa dan sedang menunggu maklum balas beliau.

Isa pada 19 Jun lalu dilantik ke SPAD setelah berundur dari FGV susulan kemelut pentadbiran dengan presiden syarikat komersial Felda itu Datuk Zakaria Arshad.

Pemandu pun tak mahu

Sementara itu, rata-rata pemandu teksi yang ditemui Malaysiakini dalam acara di Petaling Jaya hari ini turut menolak kepimpinan Isa dalam SPAD.

“Kerajaan buat keputusan ini macam tak ada orang lain lagi yang lebih layak.

"Kerajaan sepatutnya melantik orang yang tidak berkaitan dengan politik dan tidak ada apa-apa jawatan," kata Naib Dipertua, Gabungan Pemandu Teksi Pulau Pinang, Kanisen P Pathimuthu, 50.

Pandangan sama disokong Timbalan Pengerusi Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia Kuala Lumpur Kamaluddin Mohd Hussin, 32.

"Kita mahu seorang individu yang bersih serta berjiwa rakyat barulah industri pengangkutan awam ink dapat dinaik taraf.

“Kalau tidak kita akan dapat lihat keputusan-keputusan yang dibuat oleh mereka ini lebih menjaga kepentingan pihak tertentu berbanding menaik taraf nasib dan menjaga kebajikan pemandu teksi sendiri," kata Kamaluddin.

Pemandu teksi Yahya Mohsin, 40 dari Kuala Lumpur juga menolak Isa sepenuhnya dari memegang jawatan pengerusi SPAD.

"Kita memang tak setuju sebab kita dah tahu Isa Samad dengan FGV bermasalah, latar belakang dia pun kita dah tahu dan mungkin SPAD akan lebih teruk dari pengerusi sebelum ini.

"Kita nak kurangkan seksaan sebelum ini tapi dengan kehadiran Isa Samad makin seksalah kami. Kalau boleh tak payah teruslah," kata Yahya.

Lihat Komen