malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Autonomi IPTA diberi secara berperingkat, kata menteri
Diterbitkan:  Jul 1, 2017 8:01 PM
Dikemaskini: 12:17 PM
ADS

Autonomi bagi Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) diberi secara berperingkat mengikut keupayaan mereka, kata Menteri pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Menurut Idris, di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi), kementerian memahami bahawa autonomi universiti perlu diperluas, berdasarkan keupayaannya untuk membuat keputusan.

"Sehingga kini, sebanyak 17 IPT telah diberikan autonomi yang pelbagai- daripada pengurusan kewangan sehingga ke urusan sumber manusia.

"Sebagai contoh, universiti boleh menentukan sendiri kriteria kenaikan pangkat pensyarah mengikut merit. Pensyarah juga dibenarkan terlibat dalam aktiviti komersial.

"Saya percaya pencapaian universiti negara sedikit sebanyak berkait dengan pemberian autonomi secara berperingkat.

ADS

"Ini merupakan proses yang berterusan dan pemantapan tadbir urus universiti dan hasil dari pengurniaan autonomi ini pasti akan membantu universiti-universiti tempatan untuk terus maju," kata Idris dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian susulan laporan media berhubung isu autonomi universiti tempatan baru-baru ini.

Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) dalam kertas kerja terbitannya mendakwa, universiti awam di Malaysia tidak diberi kuasa autonomi sewajarnya, walaupun diberi status sedemikian.

Ketua Eksekutif Ideas, Wan Saiful Wan Jan berkata, walaupun universiti awam diiktiraf sebagai badan berkanun persekutuan, mereka masih dikehendaki mematuhi tadbir urus seperti perkhidmatan awam dari segi skala gaji, kriteria promosi dan prosedur.

Wan Saiful memberikan contoh bagaimana universiti di Malaysia tidak mempunyai kawalan penuh ke atas peruntukan dana dan geran penyelidikan kerana pematuhan yang ketat terhadap prosedur yang ditetapkan kementerian kewangan dan perbendaharaan.

Tadbir urus universiti

Mengulas lanjut, Idris berkata pemerkasaan tadbir urus keseluruhan sistem pendidikan tinggi melihat kepada 'penggabungan autonomi dengan kebertanggungjawaban'.

Menurutnya, pada tahun 2012, kementerian telah melancarkan Kod Tadbir Urus Universiti (CUGG) dan Indeks Tadbir Urus Universiti (UGGI).

"Pada tahun 2015, kementerian telah mengeluarkan buku 'Memperkasakan Governans & Keberkesanan Lembaga Pengarah Universiti' untuk meningkatkan lagi keboleh dan profesionalisme Lembaga Pengarah IPT," katanya.

Idris berkata universiti tempatan mempunyai autonomi untuk menjalinkan kerjasama seperti penyelidikan di peringkat antarabangsa, serta kebebasan menawarkan program akademik yang sesuai dengan keperluan semasa.

Menurut Idris, kerajaan juga telah meminda Akta Universiti & Kolej Universiti yang memberikan mahasiswa kebebasan berpolitik di luar kampus.

Manakala pindaan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Akta 555) diluluskan di parlimen bagi membolehkan pemerkasaan IPTS seluruh negara termasuk liberalisasi sistem IPTS.

"Baru-baru ini kelima-lima Universiti Awam Malaysia telah meningkat dalam ranking dunia, menempatkan mereka dalam kelompok 1 peratus terbaik dunia daripada 26,000 universiti seluruh dunia," katanya.

Tambahnya, sebanyak 11 subjek di universiti awam dan swasta tersenarai dalam kelompok 50 terbaik dunia berbanding tiga subjek pada tahun lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen