malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lim: Apandi adalah AG paling kuat berpolitik dalam sejarah
Diterbitkan:  Jun 28, 2017 3:43 PM
Dikemaskini: 7:49 AM
ADS

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang membidas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang membuat rumusan tindakan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat mengemukakan saman sivil terbaharu untuk merampas tambahan aset AS$540 juta yang didakwa diperoleh dengan dana yang diselewengkan dari 1MDB adalah bersifat politik.

Sambil melabelkan Mohamed Apandi sebagai peguam negara yang paling kuat berpolitik, Lim mendakwa bekas hakim itu cuba merampas kuasa jemaah menteri.

"Keputusan sama ada Amerika Syarikat, atau mana-mana negara lain, bertindak 'bermotifkan politik' sama ada secara sah atau sebaliknya, yang mungkin menjejaskan kepentingan negara, harus dibuat oleh kabinet dan bukan oleh peguam negara.

"Apandi telah melampaui kuasa dan bidang tugasnya sebagai peguam negara dan merampas kuasa kabinet, khususnya, menteri luar," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Apandi menyifatkan saman DOJ sebagai "berbaur politik" kerana hanya berdasarkan maklumat yang diberi oleh segelintir pihak dari Malaysia sendiri.

Lim berkata, ini di sebalik tindakan, Tan Sri Abu Talib Othman, bekas peguam negara yang paling lama berkhidmat di negara ini, tampil untuk menjelaskan bahawa bukan kewajipan DOJ untuk berunding dengan pihak berkuasa Malaysia.

Ini kerana siasatan terhad kepada bidang kuasa di Amerika Syarikat.

Lim juga mengingatkan bagaimana Apandi enggan bekerjasama dengan Peguam Negara Switzerland ketika negara itu meminta kerjasama untuk menyiasat firma SRC International yang adalah anak syarikat 1MDB.

Semalam, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, juga mempersoalkan dakwaan yang dibuat oleh ahli politik Umno bahawa tuduhan DOJ adalah konspirasi AS untuk campur tangan dalam urusan tempatan negara.

Kata pemimpin AMANAH itu, tidak masuk akal bagi kerajaan Abu Dhabi, Singapura, Switzerland, Hong Kong dan Amerika yang semuanya dituduh hendak menjatuhkan kerajaan Malaysia?

Dalam satu kenyataan media berasingan, Lim turut menjawab desakan daripada Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad, semalam yang mahu anaknya, Lim Guan Eng meletak jawatan berhubung kes rasuah yang dihadapinya.

Tengku Sariffuddin turut melabelkan guan Eng sebagai Penang Official 1 (PO1).

"Kenyataan malam tadi menjurus kepada serangan peribadi yang tidak berasas dan tidak masuk akal. (Ini adalah) bukti terbaru mengenai bagaimana terdesaknya jentera komunikasi strategik Umno / BN yang sangat mahal, tetapi telah menjadi kelam-kabut," katanya.

Lim berkata “jentera” berkenaan gagal untuk "melindungi" isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dari saman terbaru DOJ.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen