malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tabung ‘Saman Sarawak Report’ PAS cecah RM200,000
Diterbitkan:  Jun 28, 2017 9:49 AM
Dikemaskini: 1:53 AM
ADS

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan mengesahkan ‘Tabung Saman Sarawak Report’ yang dilancarkan semasa muktamar di Kedah, April lalu berjaya mengutip hampir RM200,000.

Menurutnya, kutipan masih diteruskan dan parti itu berharap untuk mendapatkan jumlah wang secukupnya bagi membayar khidmat peguam yang telah dilantik bagi mengendalikan kes tersebut.

“Alhamdulillah, Tabung Saman Sarawak Report yang dilancarkan semasa muktamar di Kedah, April lalu berjaya mengutip kutipan mencecah hampir RM200,000 untuk bayar khidmat peguam.

“Semua wang ini disumbangkan oleh ahli dan penyokong PAS dan kami masih meneruskan kutipan derma itu,” katanya yang dipetik oleh akhbar Sinar Harian, hari ini.

Takiyuddin juga dilaporkan berkata, PAS sudah bersedia dan sedang menunggu tarikh dari Mahkamah London untuk sesi pertama perbicaraan kes itu diadakan.

“Kita sedang tunggu tarikh mahkamah tetapkan (berhubung kes saman terhadap Sarawak Report),” katanya.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada April lalu mengemukakan saman fitnah RM90 juta apabila penulis artikel Sarawak Report mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyalurkan dana sebanyak RM90 juta kepada parti itu.

Abdul Hadi memfailkan saman fitnah terhadap editor Sarawak Report Clare Rewcatle-Brown di Mahkamah Tinggi di London.

Isnin lalu, Sarawak Report berjaya mengutip jumlah dana yang diperlukan melalui platform dana awam - Crowd Justice - dalam tempoh masa tiga hari. Ketika berita itu ditulis, sebanyak GB£30,452 berjaya dikumpulkan menerusi 615 penyumbang.

Lihat Komen