malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

SATIRA l Bagi orang-orang Melayu Umno Islam, tiada ertinya Syawal kali ini tanpa kepulangan ikon usahawan global yang bertaraf dewa. Tiada kemeriahan untuk bersama dengan lelaki romantis, pemurah dan banyak berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

Persetankan segala tohmahan ciptaan pembangkang berniat jahat melalui DOJ yang asyik mengulang tuduhan palsu, fake news, fitnah dan pembohongan. Mana ada bukti 1MDB kehilangan duit dan dirompak, seperti kata peguam negara, ketua polis negara dan semua pemimpin Umno yang tentunya tidak berbohong dalam bulan Ramadan.

Lelaki montel yang genius itu, dengan nama Melayunya, Hang Jolo bukan sahaja masih virgin, teruna, suci malah tidak langsung merompak dan menyamun di mana-mana pun di dunia.

Bertaubatlah kalian, lupakah yang sesiapa pun innocent until proven guilty? Tiada mahkamah di dunia yang mendakwa hero nasional ini.

Tiada! Apalagi semua agensi pihak berkuasa di Malaysia, dari perdana menteri, isteri, anak-anak hingga ke majlis-majlis bandaran tidak pernah menangkap Hang Jolo. Mana ada menteri-menteri, apalagi macai-macai seperti Jamal Yunos berani menyebut nama Hang Jolo?

Mereka semua menyanjung dan menjunjung kehebatan Hang Jolo.

Merajuk kesepian...

Kesian dan simpati tidak terhingga kepada tokoh niaga ulung yang merentas planet dari pulau ke pulau, kota besar ke kota besar dan dari bumi ke tujuh pelata langit.

Harum nama batang tubuh yang terpaksa jauh membawa diri, merajuk, kesepian bersama kapal layar taraf bilionair, Equanimity.

Khabarnya kini bersendirian merenung laut di persisiran Kemboja. Seakan mahu melepaskan gundah gelana dan segala kemurungan dibulan Ramadan yang mulia.

Semenjak beberapa kali putus cinta, dari Paris Hilton, Elva Hsiao kepada Merinda Kerr dengan puluhan juta perbelanjaan hadiah, hiburan demi kasih sayang, Hang Jolo tetap tabah dan meneruskan kehidupan dengan menjadi penderma badan-badan kebajikan.

Begitulah pahlawan yang berjiwa besar.

Sumbangan derma tentu tidak sebesar sumbangan derma Raja Arab, RM2.6 biliion kepada ‘Malaysian Official 1', pahlawan Bugis dan tokoh Islam Wasatiyyah itu, tetapi keikhlasan Hang Jolo jangan sekali dipertikaikan.

Tiadakah para pemfitnah nampak kebaikan Hang Jolo ini? Malah Hang Tuah sekalipun yang frust menonggeng dengan Puteri Gunung Ledang dan Tun Teja tidak sehebat Hang Jolo memberi hadiah hasil keringat sendiri.

Bayangkan betapa gigihnya dengan keringat, darah dan airmata, Hang Jolo membina empayar bisnes merentas planet. Dengan dana sendiri dan mengembangkannya sekelip mata. Sesuatu yang tentu tidak diajar di Wharton Business School, apalagi di UiTM dan mana-mana universiti tanahair.

Tutup tiga bank Yahudi

Tidak tahu kenapa, amat mengherankan kenapa Hang Jolo tidak menjadi suri teladan Transformasi Nasional (TN50) dan menerima anugerah Tun, Tan Sri, Datuk Seri, Datuk Paduka, Datuk dan Datin sekaligus.

Malah semua universiti yang ada di Malaysia patut memberi ijazah kedoktoran terhormat untuk kecemerlangan anak Malaysia sebagai bilionair diusia muda. Lagi hebat dari Mark Zuckerberg yang tidak habis mengaji.

Jauh lebih hebat kerana Hang Jolo telah berjaya menutup sekurangnya tiga buah bank Yahudi. Satu agenda islamik yang tidak pernah berjaya dilakukan oleh Tun Mahathir, Anwar Ibrahim, Hadi Awang dan juga mana-mana pemimpin Islam di muka bumi.

Tidakkah para pembangkang Melayu Islam nampak kehebatan Hang Jolo itu? Beliau berani dan berjaya memperkosa, meliwat banyak sistem kewangan negara kafir harbi sehingga tiada dapat dikesan oleh peguam negara mereka. Apalagi oleh Bank Negara, SPRM, peguam negara dan PDRM.

Kehebatan yang tiada tandingan!

Melayu Umno memerlukanmu...

Hang Jolo, pulanglah perantau.

Jangan terus merajuk bersembunyi. Negara memerlukan bakti dan sumbangan ikhlas kamu dalam memulihkan ekonomi negara. Melayu Umno Islam memerlukan hero baharu yang boleh menganjak pradigma, dari lautan biru ke lautan merah, tsunami yang boleh mengubah pilihanraya agar kepimpinan maksum hari ini terus bermaharajalela sebagai kerajaan Melayu Islam.

Kalau masih frust menonggeng kerana putus cinta, ramai puteri-puteri Umno yang layak sebagai pasangan bahagia. Mereka berbangga dengan kecemerlangan seorang anak Cina yang berjuang demi agama, bangsa dan negara di bawah kepimpinan Melayu Umno Islam.

Bersama lagu syahdu P Ramlee, 'Dendang Perantau' dan S Jibeng, 'Musafir di aidilfitri", kami anak-anak Melayu Islam Umno berharap dan merayu, Hang Jolo, pulanglah Perantau!


MOHD FUDZAIL MOHD NOR bermastautin di UAE sejak 2000. Pernah bekerja di TV3 dan kini usahawan serta pengarah beberapa syarikat antarabangsa. Beliau juga penulis prolifik dengan sembilan judul buku dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Satira ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen