malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Saudi beri 10 hari untuk Qatar penuhi tuntutan
Diterbitkan:  Jun 24, 2017 9:52 AM
Dikemaskini: 2:02 AM
ADS

GLOBAL l Qatar mengesahkan sudah menerima senarai tuntutan daripada negara-negara yang memutuskan hubungan diplomatik dengan Doha, menurut kenyataan yang dikeluarkan media kerajaan.

Ia adalah kenyataan rasmi pertama negara Teluk itu sejak berita Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir membuat 13 tuntutan untuk menyambung semula hubungan dengan Qatar.

"Qatar mengumumkan penerimaan kertas berkenaan pada 22 Jun, yang mengandungi tuntutan negara terbabit dan Mesir," demikian pernyataan dari kementerian luar negara yang diterbitkan pada awal pagi ini.

"Qatar mengkaji kertas ini, tuntutan yang terkandung di dalamnya dan asas yang disandarkan, untuk menyediakan maklum balas yang sesuai."

Semalam, Arab Saudi dan sekutunya mengeluarkan senarai tuntutan kepada Qatar yang kononnya bagi menamatkan ketegangan serantau.

ADS

Dalam 13 tuntutan itu, Saudi dan negara yang memutuskan hubungan dengan Qatar antaranya menuntut penutupan jaringan media Al Jazeera, penutupan pangkalan Turki dan pengehadan hubungan dengan Iran.

Saudi juga menuntut Qatar menamatkan hubungan dengan beberapa kumpulan yang didakwa pengganas oleh mereka, iaitu Ikhwanul Muslimin, Hezbollah, al-Qaeda dan IS.

Memetik AP dan Reuters, Al Jazeera melaporkan senarai itu diperoleh daripada seorang pegawai kerajaan daripada sebuah negara yang terlibat memulaukan Qatar.

Selain Saudi, Mesir, Emeriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain memutuskan hubungan dengan Qatar selepas mendakwa negara itu menaja 'keganasan'.

Dakwaan ini dinafikan Qatar.

Negara-negara itu kini memberikan masa 10 hari kepada Qatar untuk memenuhi tuntutan itu, selain membayar pampasan untuk “korban nyawa dan kerosakan harta benda disebabkan dasar-dasar Qatar”.

Dokumen itu bagaimanapun tidak menyatakan tindakan yang akan diambil jika Qatar enggan tunduk kepada tuntutan itu.

Hashem Ahelbarra daripada Al Jazeera berkata tuntutan itu sudah pasti ditolak oleh Qatar yang hanya akan meneliti tuntutan padanya jika sekatan ditarik balik terlebih dahulu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen