malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Jamal mengaku simpan 'rantai berlian' isteri MO1
ADS

Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini membuat gimik baru dengan mengadakan sidang media mendakwa memiliki tiga utas rantai dan sebentuk cincin berlian yang dinyatakan dalam saman sivil Jabatan Keadilan (DOJ), Amerika Syarikat (AS).

"Hari ini saya membawakan kalung yang digambarkan oleh DOJ. walaupun yang sebenarnya inilah kalungnya, bukan (seperti beredar) di Facebook. Inilah kalung yang berjuta (dolar) itu.

"Ia berharga RM120 juta, dan inilah cincin berlian. Jadi bagaimana kita nak percaya tuduhan sedemikian, kalung berharga ratusan juta. Jadi, apa yang disebut DOJ itu saya telah dapatkan melalui beberapa sumber saya, inilah dia.

"Insya-Allah dalam waktu terdekat, saya akan lakukan lelongan awam. Siapa yang berani bida," kata pemimpin Baju Merah itu dalam sidang media di pejabatnya di Ampang, dekat ibu negara.

Sesetengah wartawan juga ketawa melihat gelagat itu.

DOJ dalam samannya minggu lepas menyenaraikan beberapa barang kemas yang didakwa diperoleh menggunakan wang berpunca daripada 1MDB.

Ia termasuk rantai dengan loket berlian merah jambu 22 karat yang dikatakan diberikan kepada isteri Malaysian Official 1 (MO1).

Barang kemas lain yang disenaraikan termasuk yang didakwa diberikan kepada model jelita Australia Miranda Kerr dan ibu hartawan kontroversi Jho Low.

Jamal turut berseloroh, sekiranya DOJ melakukan penyiasatan ke atasnya kerana memiliki barang kemas tersebut, inilah peluang untuknya ke AS.

Wartawan ketawa

Sidang media yang turut disertai Exco Pemuda Umno Datuk Armand Azha Abu Hanifah itu penuh warna-warni apabila Jamal turut mengalungkan rantai tersebut ke lehernya.

Manakala Armand pula menyarungkan cincin di jarinya.

Rantai berserta loket yang diperagakan oleh Jamal berwarna hitam manakala dua yang lain dipegang oleh pengikutnya berwarna emas dengan loket berwarna hijau.

Tindakan Jamal itu menyebabkan kira-kira 50 petugas media ketawa dengan kuat.

Jamal turut membawa dua kain rentang dengan tulisan "Tun Mahathir sanggup rasuah DOJ untuk menjatuhkan Najib" ,"konspirasi jahat Mahathir"dan "dalang No 1 bersekongkol dengan Amerika menfitnah Najib demi kemaruk kuasa".

Sementara itu, Jamal yang juga pengerusi Umno Sungai Besar mendakwa bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah membuat konspirasi dengan DOJ bagi menjatuhkan Najib dan Rosmah.

Malah, kata Jamal, konspirasi ini telah dirancang sejak sekian lama banyak untuk menjatuhkan kepimpinan negara.

"Ia telah dirancang sejak beberapa tahun yang lepas. Ia ibarat nasi lemak yang telah dibungkus dua tiga hari lepas dipanaskan kembali untuk disajikan kepada rakyat Malaysia.

"Saya bimbang jika nasi lemak ini terus dimakan oleh rakyat Malaysia ramai yang akan masuk hospital kerana sakit perut kerana nasi lemak dah basi,” katanya.

Tambahnya lagi, sehingga kini, tidak ada bukti yang ditunjukkan oleh DOJ terhadap segala dakwaan itu.

Lihat Komen