malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ada agenda politik jahat jatuhkan PM, kata Rahman
Diterbitkan:  Jun 18, 2017 3:49 PM
Dikemaskini: 8:04 AM
ADS

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata siasatan oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat terhadap 1MDB dicetuskan oleh aduan yang dibuat pihak tertentu.

Beliau juga mengaitkan tindakan pengadu itu dengan agenda pembangkang untuk menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dipilih oleh rakyat.

"Saya mengesyaki pengadu terbabit adalah rakyat Malaysia yang mempunyai agenda politik jahat terhadap perdana menteri dan kerajaan.

"Malaysia berhak mengetahui siapa pengadu terbabit dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat perlu mendedahkan identiti mereka agar Malaysia mengesahkan apa kaitan pengadu itu dengan agenda parti pembangkang bagi menggulingkan perdana menteri dan kerajaan yang dipilih secara demokrasi di Malaysia," kata Abdul Rahman dalam kenyataan media.

Menurutnya, walaupun DOJ mempunyai hak untuk memfailkan saman sivil itu, namun ia mesti berlandaskan fakta dan bukan berdasarkan kenyataan retorik tanpa asas.

"Apa yang lebih penting, dakwaan yang dibuat Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat perlu dibuktikan di mahkamah, sebelum ia boleh diterima sebagai fakta," katanya yang juga pengarah komunikasi strategik BN.

Abdul Rahman berkata, Malaysia sudahpun menjalankan siasatan terperinci, manakala Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) yang terdiri daripada anggota parlimen kerajaan dan pembangkang tidak menemui sebarang bukti dana diseleweng daripada 1MDB.

"1MDB bukanlah pihak yang disaman dalam saman sivil berkenaan.

"Malah, aset yang didakwa Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat diperolehi dari sumber yang salah dan mahu dilucuthak, secara faktanya dibeli oleh entiti yang tidak dimiliki atau dikawal mahupun berkaitan dengan 1MDB," jelasnya.

DOJ Khamis lalu memfailkan saman sivil ketiganya untuk merampas pelbagai aset didakwa diperoleh melalui salah guna dana 1MDB.

Antara individu dinamakan DOJ dalam saman berkenaan ialah ahli perniagaan, Jho Low dan anak tiri Najib, Riza Aziz. Turut dinamakan dalam saman itu ialah seseorang dirujuk sebagai MO1 dan isterinya.

Abdul Rahman sebelum ini mengesahkan MO1 adalah Najib tetapi menegaskan perdana menteri itu tidak dinamakan dalam siasatan.

Saman setebal 251 halaman itu antara lain mendakwa wang bernilai AS$620 juta (RM2.6 bilion) yang sepatutnya dikembalikan kepada "penderma" sebaliknya dipindahkan kepada Low yang menggunakan wang itu untuk membeli rantai leher berlian buat isteri MO1.

DOJ juga mendakwa Low mengumpulkan lebih AS1 bilion dalam hartanah menggunakan dana yang didakwa dialihkan daripada 1MDB.

Najib sebelum ini menafikan menggunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi. Manakala Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali juga telah membersihkan beliau daripada sebarang tuduhan salah laku.

Lihat Komen