malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Berlian buat isteri MO1, emas tiada dalam senarai tuntutan DOJ
Diterbitkan:  Jun 18, 2017 11:24 AM
Dikemaskini: 4:00 AM
ADS

Berlian merah jambu 22 karat berbentuk hati yang dijadikan hadiah kepada isteri individu dikenali sebagai Malaysian Official 1 (MO1) adalah satu daripada banyak butiran yang menarik perhatian ramai dalam pendedahan Jabatan Kehakiman (DOJ) AS baru-baru ini.

Bagaimanapun di sebalik dakwaan berlian bernilai AS$27.3 juta (RM116.7 juta) itu serta 27 barang kemas 18 karat lain - bernilai AS$1.3 juta (RM5.6 juta) yang didakwa diperoleh melalui dana dicuri dari 1MDB, semuanya tidak tersenarai dalam dokumen rampasan DOJ.

Semakan pada 251 halaman saman pelucuthakan sivil DOJ yang difailkan pada Khamis lalu menunjukkan, tiada berlian merah jambu isteri MO1 atau barang kemas terbabit diletakkan dalam senarai 16 aset baru yang akan disita pihak berkuasa AS itu.

Aksesori fesyen yang ada disenaraikan ialah beberapa berlian dan barang kemas dibeli Jho Low untuk ibunya, selain hadiah buat supermodel kelahiran Australia, Miranda Kerr.

Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho, 30-an, adalah ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang yang menjadi antara watak penting dalam siasatan skandal 1MDB.

Tidak dapat dipastikan mengapa DOJ tidak menuntut aset berkenaan yang didakwa agensi itu dibeli oleh Low untuk isteri MO1 menggunakan dana yang diselewengkan.

Tiada salah laku

Bagaimanapun barangan kemas lain yang didakwa dibeli Low dan Eric Tan - didedahkan oleh mahkamah Singapura sebagai nama lain untuk hartawan itu - juga tidak termasuk dalam senarai ingin dirampas DOJ.

Menurut DOJ Low dan Tan menggunakan dana diambil dari 1MDB untuk membeli barangan kemas bernilai AS$200 juta (RM855.3 juta) untuk diri sendiri dan sekutu mereka.

Barang kemas ada dalam senarai rampasan DOJ ialah yang diberikan kepada Miranda dan ibu Low. Ia hanya bernilai AS$9.9 juta (RM42.3 juta).

Dengan menambah harga barang kemas diberikan kepada isteri MO1, jumlah keseluruhannya adalah AS$38.5 juta (RM164.6 juta). Ia bermakna ada baki AS$161.5 juta (RM690.6 juta) lagi aset didakwa dibeli Low dan Tan belum dimasukkan dalam senarai DOJ terbaru ini.

Berlian 22 karat yang diberikan kepada isteri MO1 itu dikatakan dibeli menggunakan sebahagian daripada dana berjumlah AS$620 juta (RM2.6 bilion) yang didakwa diselewengkan dari tabung 1MDB dan dipulangkan suaminya pada Ogos 2013.

Wang bernilai AS$620 juta itu datang dari pindahan AS$681 juta (RM2.9 bilion) pada Mac 2013 - suatu transaksi dikenali ramai di Malaysia sebagai "derma RM2.6 bilion).

Tahun lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan mengenal pasti MO1 sebagai Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun Abdul Rahman menegaskan nama Najib tidak disebut dalam dokumen DOJ dan ia menunjukkan perdana menteri tidak tertakluk kepada siasatan AS.

Najib sudah menafikan beliau menyalahgunakan dana awam, manakala Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan perdana menteri tidak terbabit dalam sebarang salah laku.

Najib dan Apandi mendakwa dana bernilai AS$681 juta itu adalah derma daripada seorang anggota bangsawan Arab Saudi.

Kata Apandi, AS$620 juta daripada wang derma itu dipulangkan semula kepada penderma terbabit.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen