Di tengah-tengah tekanan serantau, Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin hari ini menyatakan sokongan terbuka kepada kerajaan Qatar.
“Semoga Allah menyelamatkan Qatar dari rancangan jahat pihak yang ingin memusnahkannya,” katanya.
Qatar sekarang berdepan pemulauan beberapa negara Arab, diketuai Arab Saudi, yang memutuskan hubungan diplomatik dan menutup sempadan mereka dengan negara itu.
Langkah drastik itu diambil selepas mendakwa Doha menyokong keganasan dan kumpulan pelampau. Qatar menolak tuduhan itu.
Menulis di Facebook semalam, Asri berkata walaupun Qatar hanya sebuah negara kecil dan tidak mempunyai ramai penduduk, “jiwa mereka besar maka kadar keberaniannya pun besar”.
Beliau memuji pendirian Qatar dalam banyak isu, termasuk berkaitan kepentingan rakyat Palestin.
Mengulas media berpengaruh negara itu Al Jazeera, Asri berkata sekali pun ada kekurangan, sekurang-kurangnya dapat mengimbangi “pembohongan media anti-Islam”.
“Musuh merancang untuk memadamkan peranan Qatar tersebut.
“Ya Allah! Selamatkan umat ini daripada ditipu oleh musuh-musuh mereka,” katanya.