malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Lembaga Pengarah Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) telah mengeluarkan dan menyerahkan surat tunjuk sebab kepada Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, Datuk Zakaria Arshad dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan (CFO), Ahmad Tifli Mohd Talha berhubung hutang tertunggak Safitex Trading LLC dengan Delima Oil Products Sdn Bhd.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, FGV berkata Zakaria dan Ahmad Tifli turut diberi tempoh selama tujuh hari bermula hari ini untuk mengemukakan jawapan bertulis membabitkan dakwaan yang disenaraikan dalam surat tunjuk sebab berkenaan.

Mereka juga akan terus bercuti sehingga mendapat notis selanjutnya daripada Lembaga Pengarah FGV.

Pada minggu lepas, Lembaga Pengarah itu mengarahkan empat pegawai kanannya untuk bercuti berkuat kuasa serta-merta bagi membolehkan siasatan audit dalaman melibatkan tunggakan bayaran Safitex kepada Delima Oil Products yang juga anak syarikat FGV.

Selain Zakaria dan Ahmad Tifli, dua lagi eksekutif yang turut diarah bercuti adalah Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products, Kamarzaman Abd Karim dan CEO FGV Trading, Ahmad Salman Omar.

- Bernama

Lihat Komen