malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
ADS

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hari ini menyerahkan memorandum mendesak Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) Tan Sri Isa Samad segera meletakkan jawatan.

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu Wan Mohd Shahir Wan Abd Jalil berkata, Isa tidak perlu menunggu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sedang berlangsung.

"Kerugian FGV sebanyak lebih kurang RM13.4 bilion sejak 2012 sudah cukup untuk Tan Sri mengundurkan diri kerana gagal menguruskan FGV dan Felda dengan baik," kata Wan Mohd Shahir.

Memorandum itu digerakkan oleh parti serpihan Umno itu serta kumpulan dinamakan Pertubuhan Peneroka Rakyat Malaysia (PENEROKA). PENEROKA dianggotai bekas pegawai kerajaan daripada kalangan anak Felda.

Desakan sama sebelum ini dibuat oleh Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Dr Puad Zarkashi.

Puad membuat gesaan sama terhadap ketua pegawai eksekutif kumpulan (CEO) FGV Datuk Zakaria Arshad bagi meredakan kekusutan dalam cabang komersial Felda itu.

Isa bagaimanapun mempersoalkan gesaan itu atas alasan beliau tidak melakukan sebarang kesalahan.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Wan Mohd Shahir berkata sekiranya Isa enggan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak harus memecat beliau.

Kemelut FGV berpunca selepas Isa cuba menyingkirkan Zakaria yang dikaitkan dengan tunggakan hutang sebuah syarikat Dubai kepada anak syarikatnya Delima Oil.

Zakaria pula mendakwa beliau tidak disenangi kerana menghalang pelaburan ratusan juta yang "tidak masuk akal" syarikat itu.

Sementara itu, memorandum satu halaman itu diserahkan kepada Pengurus Besar Komunikasi Korporat FGV Arif Ahmad Yeop.

Program itu sepatutnya disertai oleh Persatuan Anak Peneroka Felda (ANAK) yang diketuai pengerusinya Mazlan Aliman yang membatalkan penyertaan mereka lewat malam tadi.

Wan Mohd Shahir berkata beliau difahamkan Mazlan yang juga pemimpin kanan Parti Amanah Negara (AMANAH) itu tidak sihat hari ini.

Lihat Komen