malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Harumanis patutnya simbol kejujuran orang Perlis
ADS

ULASAN | Setiap negeri, tempat, daerah dan kampung biasanya mempunyai loghat tersendiri. Memahami langgam bahasa secara literal pula boleh membawa kekeliruan, seterusnya membentuk maksud berbeza.

Misalnya ungkapan “harumanis ni bukannya boleh tanam kat tempat lain, takkan menjadi” jika ditafsir secara harfiah dan bukan dilafazkan sehingga intonasinya tidak dapat dikesan, ia boleh membawa makna larangan.

Tetapi jika diamati dan difahami, ia bukanlah sebuah ayat larangan. Ia adalah sebuah ayat peringatan. Kerana penanaman harumanis mempunyai beberapa faktor penting bagi mendapatkan kualiti yang sepatutnya.

Sebagai contoh, faktor cuaca panas sangat memainkan peranan penting. Maka di kawasan yang mempunyai cuaca panas antara dua hingga tiga bulan dan suhu mencecah 38 darjah Celsius adalah signifikan sebagai rangsangan pengeluaran bunga.

Taburan hujan minimum 2700mm setahun juga mencukupi bagi membantu tumbesaran harumanis.

Faktor kedua pula adalah sifat tanah, Mempelam harumanis memerlukan tanah yang dalam, gembur dan mempunyai kandungan mineral yang tinggi dengan nilai pH antara 5.5 hingga 6.5 serta sistem saliran yang baik.

Bagaimanapun secara umumnya harumanis tetap boleh ditanam pada kebanyakan jenis tanah, namun faktor kepanasan cuaca tetap memainkan peranan penting.

Atas hal tersebut, ia menjadi sebab mengapa pokok harumanis tidak sesuai diusahakan di kawasan luar Perlis, terutamanya jika ditanam dalam skala besar bagi tujuan komersial.

Kos membalut buah meningkat

Harumanis sejenis tanaman sangat sensitif, bermula dari masa penanaman hinggalah ke fasa pengumpulan buah.

Seperti memangkas dahan pokok, memotong rumput, pembajaan, menyembur racun makhluk perosak pada cabang baru atau pucuk muda yang harus diulang setiap kali pokok mengeluarkan pucuk baru adalah perlu bagi mengelakkan serangan serangga.

Manakala sekitar September pekebun akan menyediakan penggalak bunga untuk jangkaan bunga keluar sekitar bulan Januari.

Masalah timbul apabila kadar panas dan hujan menjadi tidak seimbang seperti tahun ini, maka jangkaan awal seperti waktu bunga keluar sekitar Januari menjadi lewat sehingga lewat Februari atau Mac, malah ada juga yang memasuki awal April.

Jadi sekitar Mac dan April yang biasanya waktu untuk proses membalut buah terpaksa diubah suai. Pada masa sama peningkatan kos membalut yang mencecah 36 sen sebiji menjadi faktor kenapa harga harumanis menjadi mahal selain, proses penjagaannya yang rumit.

Seperti tahun ini, antara faktor utama yang menyebabkan berlaku sedikit lebihan bekalan di pasaran adalah lambakan buah yang kurang berkualiti tidak dapat dikawal ini kerana fasa pengeluaran bunga dan putik tidak berlaku seperti tahun-tahun sebelumnya.

Ini kerana musim hujan berlanjutan dari awal tahun hingga memasuki Mac. Secara tidak langsung ia mempengaruhi kualiti buah. Putik yang terbentuk semasa musim hujan mudah mendapat serangan koya atau bena.

Akibatnya, kualiti buah akan terjejas seterusnya akan menjadi rosak.

Jual buah tak matang

Salah satu cara melupuskan buah-buah yang rosak adalah dengan cara membakarnya. Ia dapat mengelakkan serangan serangga perosak yang ada di dalamnya daripada kembali menyerang pokok harumanis.

Namun perlu diakui, kerosakan buah bukanlah disebabkan faktor semula jadi semata-mata. Ada pengaruh ketamakan pekebun sendiri.

Ketika waktu terbaik memetik harumanis ialah kira-kira 55 hari selepas ia dibalut.

Buah yang belum cukup matang kalu dipetik juga, akan menyebabkan ia masam atau tidak cukup manis selepas diperam. Ia bercanggah benar dengan sifat harumanis.

Kesan daripada amalan tersebut sebenarnya mendatangkan keburukan kepada pengusaha itu sendiri. Maka berlakulah pemboikotan pembeli.

Secara tidak langsung ia juga menjadi salah satu faktor menyebabkan lambakan buah di pasaran. Atau lebih tepat, lambakan buah tidak berkualiti.

Namun hal ini tidak berlaku kepada para pekebun yang menjaga kualiti mereka.

Masalah utama untuk kes tahun ini memanglah masih faktor cuaca yang mengakibatkan proses kematangan buah tidak seperti biasa. Sesetengahnya menjadi buruk di bahagian kepala apabila ia masak.

Selain itu hal-hal biasa menjadi masalah juga, seperti kecurian, buah yang tidak diketahui sumbernya, penjualan tidak mengikut tempoh matang dan paling ketara adalah sikap peraih yang menjual dengan harga yang terlalu tinggi berbanding kos mereka di kebun yang biasanya hanya sekitar RM18 hingga M25 sekilogram.

Dalam hal penetapan harga siling RM26 tahun ini pula, maklumat itu tidak dimaklumkan dengan meluas. Jika diketahui pun, ada masalah lain pula, iaitu kepedulian pihak berwajib memantau buah ketika dipungut.

Harumanis adalah sebahagian mata pencarian para penduduk kampung di Perlis. Akibat tidak faham dan salah tanggapan pihak-pihak tertentu, ditambah pula dengan kuasa internet yang mudah menularkan maklumat tidak tepat maka sedikit sebanyak ia menjejaskan sumber pendapatan mereka.

Lebih daripada semua itu, harumanis juga adalah sebuah simbol kejujuran dalam hidup rakyat Perlis.

Maka jadilah rakyat yang ikhlas dalam memberi supaya tidak dipandang jelek oleh orang luar. Mari kita mulakan dengan harumanis.


AHMAD SALJIMI seorang anak muda kelahiran Perlis yang kembali ke kampung halamannya selepas menuntut ilmu di Kuala Lumpur. Selain bertani dia juga penggemar harum manis yang tidak prejudis.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen