malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Jangan rosakkan Islam dengan sertai militan - TPM
Diterbitkan:  Jun 12, 2017 9:27 AM
Dikemaskini: 1:27 AM
ADS

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan umat Islam agar tidak merosakkan kesucian agama dan nama baik negara dengan menyertai gerakan militan.

Beliau berkata kerajaan sama sekali tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada rakyat yang terbabit dalam gerakan berkenaan seperti Daesh.

"Walaupun Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sudah tiada. tetapi kita ada pelbagai akta lain yang mampu untuk mencegah perkara seperti itu berlaku.

"Mereka yang terjebak ini sebenarnya tidak ada asas pegangan agama dan sebab itu mereka menyertainya," katanya ketika memberikan tazkirah ringkas selepas menunaikan solat Tarawih di Masjid Negeri di Arau malam tadi.

Turut hadir Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan hampir 1,000 jemaah yang turut menunaikan solat Isyak.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata mengikut angka terkini, seramai 36 rakyat negara ini terbunuh kerana menyertai Daesh di beberapa buah negara lain.

Beliau mengingatkan umat Islam agar menjaga keharmonian walaupun mereka berbeza pendapat.

"Perbezaan pendapat bukan asas untuk melakukan sesuka hati, tetapi ia mempunyai ketertibannya," katanya.

Beliau juga mahukan umat Islam menjaga kesucian masjid sebagai institusi yang menyatukan perpaduan ummah.

Timbalan perdana menteri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM250,000 kepada masjid itu untuk membaiki dan mengadakan pelbagai perkara lagi.

Ahmad Zahid turut menyertai jamuan moreh serta beramah mesra dengan para jemaah.

Beliau sebelum itu menghadiri program Penerapan Nilai-Nilai Murni di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, Kangar dan menyampaikan sumbangan kepada 100 orang penerima yang terdiri daripada asnaf dan anak yatim serta berbuka puasa berrsama kira-kira 1,000 tetamu sebelum menunaikan solat Maghrib berjemaah.

- Bernama

Lihat Komen