malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
SPRM: Ada 6 isu berhubung kemelut FGV
Diterbitkan:  Jun 9, 2017 2:54 PM
Dikemaskini: 7:04 AM
ADS

Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) melibatkan enam isu, kata timbalan pesuruhjayanya Datuk Azam Baki.

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan isu-isu itu dan hanya berjanji akan mengkajinya secara terperinci untuk memastikan sama ada wujudnya unsur rasuah dan salah guna kuasa.

“SPRM meminta semua pihak untuk memberikan masa dan ruang kepada pasukan penyiasat dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” katanya.

Suruhanjaya itu semalam menyerbu dan menggeledah pejabat FGV di ibu negara selama lapan jam dan merampas dokumen yang dimuatkan dalam tiga kotak kertas, beberapa bungkusan dan tiga beg tarik.

Serbuan besar-besaran melibatkan 40 anggotanya itu dibuat sebagai tindakan susulan terhadap keterangan presiden ketua pegawai eksekutif Kumpulan (CEO) FGV Datuk Zakaria Arshad.

Zakaria disiasat selepas kemelut pentadbirannya dengan pengerusi cabang komersial Felda itu Tan Sri Isa Samad yang cuba menyingkirkannya daripada FGV atas alasan masalah tunggakan hutang AS$8.3 juta daripada sebuah syarikat Dubai.

Dalam kenyataannya hari ini, Azam berkata SPRM sedang mengkaji dokumen-dokumen yang dirampas untuk mengumpul bukti sebelum tindakan lanjut diambil.

“Sehubungan itu, SPRM juga akan mula memanggil saksi-saksi dan individu-individu terlibat bagi membantu siasatan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Lihat Komen