malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Ketua HARAPAN: Muhyiddin nak cakap, tapi...
ADS

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin, enggan memberi sebarang komen selepas namanya disebut-sebut sebagai calon ketua Pakatan Harapan (HARAPAN).

Sebelum ini BERSATU dilaporkan bercadang menamakan bekas timbalan perdana menteri itu sebagai pemimpin pakatan pembangkang itu, manakala Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai pengerusi.

Seorang lagi bekas timbalan perdana menteri yang juga ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dinamakan sebagai penasihat HARAPAN.

Bagaimanapun ketika ditemui media selepas mesyuarat Majlis Presiden HARAPAN di Ibu Pejabat BERSATU di Petaling Jaya hari ini, Muhyiddin enggan memberikan sebarang bayangan atas alasan beliau terikat dengan peraturan.

"No comment, biasa kita tidak beritahu (apa yang dibincangkan dalam mesyuarat).

"Kamu kena tanya pengerusilah (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail), sebab saya bukan pengerusi (mesyuarat), saya tak ada hak untuk buat kenyataan media.

"Kalau mesyuarat saya, saya buat press statement," katanya.

Bincang macam-macam

Ditanya lebih lanjut, termasuk mengenai cadangan menjadikan Dr Mahathir sebagai pengerusi HARAPAN, Muhyiddin sekali lagi mengelak.

"No, no, saya tak ada itu. Sorry (tak boleh komen) nanti kata saya pula pandai-pandai cakap.

"Saya cuma member ( ahli mesyuarat) saja.

"Saya nak berakap dengan kamu tetapi saya mesti patuh kepada peraturan," katanya.

Kata Muhyiddin, beliau boleh menjelaskan apa yang berlaku dalam perbincangan itu juga ia dipengerusikannya sendiri.

"Kalau saya punya mesyuarat, saya akan bercakap sampai you tak ada soalan pun saya akan jawab.

"Hari ini saya tak boleh jawablah..." katanya.

Terdahulu, media melaporkan BERSATU menyarankan pengerusi mereka - Dr Mahathir - dilantik sebagai pengerusi HARAPAN, manakala Muhyiddin sendiri menjadi presiden gabungan berkenaan.

Anwar yang selama ini dinamakan sebagai calon perdana menteri jika HARAPAN berjaya mengalahkan BN pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, dicadangkan sebagai penasihat.

BERSATU - anggota bongsu dalam HARAPAN - juga dilapor mencadangkan Dr Wan Azizah sebagai timbalan pengerusi dan Datuk Seri Azmin Ali sebagai timbalan presiden.

Sebelum ini, HARAPAN menamakan Dr Wan Azizah sebagai pengerusi manakala Muhyiddin, Lim Kit Siang (DAP) dan Mohamad Sabu (Parti Amanah Negara) sebagai naib presiden.

Ditanya apakah yang dibincangkan dalam mesyuarat hari ini, Muhyiddin sekadar menjawab: "Macam-macam perkaralah, urusan parti, Pakatan Harapan, isu-isu semasa, itu sajalah."

Sementara itu Dr Wan Azizah berkata, HARAPAN akan mengumumkan senarai kepimpinan mereka dan menghantarnya kepada Pendaftar Pertubuhan minggu depan.

"Kami yakin barisan kepimpinan itu akan membawa perubahan lebih baik untuk Malaysia," katanya.

Namun ketua pembangkang di parlimen itu menjelaskan, calon perdana menteri HARAPAN belum dibincangkan buat masa ini.

[Baca berita asal]

Lihat Komen