malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Jangan taksub pada mana-mana orang, pesan Zahid Hamidi
Diterbitkan:  Jun 8, 2017 9:28 PM
Dikemaskini: 1:31 PM
ADS

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan umat Islam di negara ini agar tidak taksub melampau terutamanya terhadap mana-mana individu sehingga boleh menjejaskan akidah dan kesucian agama Islam.

Beliau berkata taksub sebagai orang Islam dalam mempraktikkan keimanan dan ketakwaan dari segi Rukun Iman dan Rukun Islam memang sangat dituntut oleh agama.

"Tetapi ketaksuban yang melampau kepada mana-mana individu selain daripada Rasulullah dan juga ibu bapa kita, dikhuatiri akan menukar dan mengalih akidah kita," kata beliau ketika berucap pada Program Penerapan Nilai-Nilai Murni di Masjid Al-Mizan, Kempas, hari ini.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri berkata salah tafsir ayat Al-Quran, salah tafsir sunnah dan menyimpang jauh daripada ijmak ulama dan qiyas juga menyebabkan ketaksuban yang melampau ini sekaligus merosakkan agama itu sendiri.

"Kekhuatiran terhadap soal ketaksuban ini adalah kerana di akhir zaman ini kita lihat terdapat banyak kumpulan-kumpulan taksub yang dalam bahasa Inggeris disebut sebagai 'cult'.

"Kerana ketaksuban ini boleh membawa kepada perkara (seperti) melakukan harakiri (bunuh diri untuk menjaga kehormatan) mengikut budaya Jepun (dan) boleh melakukan pengeboman diri sendiri kononnya untuk berjihad, di mana maksud jihad bukanlah merosakkan orang lain atau merosakkan diri sendiri," kata beliau.

Oleh kerana itu, beliau berkata, adalah tidak adil menyalahkan orang lain apabila wujudnya Islamofobia.

Ahmad Zahid berkata wujudnya Islamofobia dalam kalangan masyarakat bukan Islam kerana mereka menyalahtafsirkan Islam disebabkan perbuatan sesetengah orang Islam yang merosakkan imej Islam itu sendiri.

Sehubungan itu, katanya, hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melihat Malaysia menterjemahkan kesederhanaan perlu sentiasa didukung.

Ahmad Zahid berkata, dalam semangat keharmonian dan kemajmukan agama dan bangsa di negara ini, beliau berharap perkara itu dapat direalisasikan.

Timbalan Perdana Menteri kemudiannya mengimamkan solat Maghrib selepas majlis berbuka puasa yang turut disertai kira-kira 1,500 kakitangan dan pegawai Kementerian Dalam Negeri serta 100 anak yatim dan golongan asnaf sekitar Kempas.

Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.

- Bernama

Lihat Komen