malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Exco S'gor nasihatkan Noh Omar ubah sikap
Diterbitkan:  Jun 8, 2017 8:37 PM
Dikemaskini: 12:40 PM
ADS

Tan Sri Noh Omar dinasihatkan agar mengubah sikapnya yang suka memfitnah Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Exco Selangor, Elizabeth Wong berkata Noh perlu bertindak sedemikian agar sesuai dengan statusnya sebagai Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

"Saya menasihatkan Noh untuk mengubah sikapnya yang terlalu suka memfitnah Mohamed Azmin.

"Beliau perlu bertindak dengan lebih profesional sesuai dengan statusnya sebagai seorang menteri Kabinet," kata Elizabeth dalam kenyataan.

Elizabeth berkata demikian sebagai reaksi balas Noh semalam yang mahu kerajaan Selangor memikul tanggungjawab menutup tapak pelupusan sampah haram di Kampung Limau Manis, Sungai Merab dekat sini yang mengalami kebakaran berlarutan sejak hampir sebulan lalu.

Noh yang juga pengerusi perhubungan Umno Selangor semalam dilapor menempelak Azmin kerana tidak mengambil tindakan terhadap tapak pelupusan sampah haram yang berkeluasan 2.32 hektar di negeri pakatan pembangkang itu.

Noh berkata, perkara itu selaras dengan bidang kuasa kerajaan negeri yang menyelaras hal ehwal pengurusan sampah dan sisa pepejal.

Mengulas lanjut, Elizabeth yang juga pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar berkata, dakwaan Noh kerajaan negeri tidak mengambil tindakan adalah tidak benar.

Malah, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan berkata, ia merupakan satu tuduhan yang tidak berasas dan berniat jahat dilakukan Noh sebagai seorang menteri Kabinet.

Elizabeth berkata, ini kerana kerajaan negeri telah sehabis baik membantu pihak berwajib dalam mengendalikan perkara tersebut.

"Ini merupakan satu tuduhan yang tidak berasas dan berniat jahat dilakukan Noh sebagai seorang menteri Kabinet.

"Kerajaan negeri Selangor melalui Unit Bencana Negeri telah mengambil tindakan menyelaraskan dan membantu pihak Bomba di tapak berkenaan sejak bulan Mei 2017 melalui satu Operasi Bersepadu yang melibatkan pelbagai agensi termasuk Majlis Perbandaran Sepang, Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan agensi lain," kata Elezabeth.

Kata Elizabeth, kerajaan negeri juga telah membelanjakan sejumlah RM360,000 bagi mengatasi masalah terbabit.

"Sejak bulan Mei, sejumlah 80 orang pegawai terlibat dalam operasi ini dan RM 360,000 dibelanjakan untuk menyewa aset-aset seperti jentera, pam, kemudahan tandas bergerak, mesin penggali dan bahan pemadam khas PeatFireX.

"Selain itu, pihak Jabatan Alam Sekitar Selangor (JAS) telah membuka kertas siasatan di atas kejadian tersebut dan ianya sudah diserahkan kepada kepada kamar peguam negara untuk semakan demi membuat dakwaan atas pemilik tanah," kata Elizabeth.

Bagaimanapun, tambah Elizabeth, sejak 26 Mei lalu, Operasi Bersepadu sudah ditamatkan namun sehingga hari ini Unit Bencana Negeri masih memantau keadaan di sana setiap hari.

"Terdapat sisa pembakaran bawah tanah di tapak tersebut yang mula menyala semula pada 3 Jun 2017 tetapi dapat dipadam dan dikawal oleh agensi-agensi yang terlibat. Sejak Mei, tiada pembuangan sampah berlaku di tapak tersebut," tegas Elizabeth.

Selain itu, Elizabeth berkata kerajan negeri Selangor juga telah merangka beberapa penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang di Sungai Merab.

"Antara tindakan-tindakan yang diambil termasuk pengeluaran Borang 7A kepada pemilik tanah mewajibkan beliau membersihkan dan memulihkan keadaan lotnya.

"Jika pemilik tanah enggan bertindak, kerajaan negeri akan merampas tanah lot tersebut. Selain daripada itu, kerajaan negeri Selangor berharap pejabat peguam negara akan membawa kes ini ke mahkamah secepat mungkin," tegas Elizabeth.

Tambah Elizabeth, isu tapak pelupusan sampah haram itu kini di bawah bidang kuasa Ean Yong Hian Wah yang memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baharu dan Pemulihan Kilang Haram

Oleh demikian, Noh boleh bertemu dengan Ean untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut.

Lihat Komen