malaysiakini logo
story-image
ADS

Presiden Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak nampak kewajaran atas tindakan kerajaan melantik Datuk Seri Idris Jala sebagai pihak berkecuali bagi meneliti isu Felda Global Ventures (FGV).

Muhyiddin yang juga bekas timbalan perdana menteri berpendapat kerajaan sepatutnya melantik firma akauntan bebas bagi menyelesaikan krisis Felda.

"Yang saya agak musykil dan tak berapa faham, kenapa Idris Jala dilantik untuk meneliti masalah FGV.

"Saya rasa lebih elok syarikat audit bertauliah atau syarikat lebih bebas yang tak ada kepentingan dengan perdana menteri atau kerajaan. Sebab kita nak tau apa krisis yang berlaku, apa sebabnya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat BERSATU di Petaling Jaya.

Semalam, Malaysiakini melaporkan, kerajaan melantik Idris yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana berkenaan untuk meneliti arahan bercuti kepada Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Zakaria Arshad dan tiga lagi pegawai kanan FGV.

Idris, presiden dan CEO Pemandu Associates Sdn Bhd diminta untuk meneliti fakta kes dan mencadangkan penyelesaian.

Sementara itu, Muhyiddin berkata beliau juga dukacita ekoran krisis FGV yang berlarutan kerana ia akan memberi kesan buruk kepada peserta dan peneroka Felda.

'Ada benda tak kena'

Sehubungan itu, beliau turut mempertikaikan kebijaksaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam menangani krisis tersebut dengan masih mengekalkan Tan Sri Isa Samad.

"Ini krisis kepimpinan yang menunjukkan bahawa ada benda yang tak kena.

"(Isa Samad) patut dah lama (letak jawatan). Selepas perdana menteri, dia orang yang bertanggungjawab cetuskan krisis besar.

"Malangnya perdana menteri tak ketepikan Isa tetapi tetap letak Isa dalam FGV. Sebab itu masalah berterusan. Kenapa tak ambil orang lain yang berpengalaman?

"Saya persoalan kebijaksanaan perdana menteri kerana masalah di Felda ini berulang," katanya lagi.

Selasa lalu, Isa mengarahkan agar empat pegawai kanan FGV termasuk Datuk Zakaria Arshad bercuti.

Ia bagi memberi laluan kepada audit dalaman dijalankan bagi menyiasat tunggakan bayaran syarikat Safitex kepada Delima Oil Products Sdn Bhd, sebuah anak syarikat FGV.

Lihat Komen