Amalan mengkhatankan bayi perempuan tanpa merujuk keperluannya kepada pakar tidak mempunyai asas berdasarkan dalil syarak.
Bahkan, menurut fatwa Perlis, ia mungkin mendedahkan bayi kepada kemudaratan jika dilakukan secara salah.
“Andaian bahawasanya rangsangan seks berlebihan pada wanita disebabkan tidak berkhatan adalah tidak memiliki apa-apa alasan yang kukuh,” menurut fatwa negeri itu lagi.
Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat jawatankuasa fatwa negeri ke-29 pada tahun ini pada pertengahan April lalu dan dikongsi oleh muftinya Datuk Dr Asri Zainul Abidin hari ini.
Perbincangan turut melibatkan pakar perubatan.
Sementara itu, jawatankuasa itu juga berpendapat bahawa hukum khatan bagi wanita berbeza mengikut keadaan alat sulitnya.
“Jika seseorang wanita mendapati dirinya perlu melakukan khatan dan dipersetujui oleh pakar, maka ia satu makrumah (penghormatan) seperti dalam hadis Ummu 'Atiyyah yang dinilai hasan oleh sebahagian ulama.
“Sekiranya didapati tiada keperluan khatan, maka khatan tidak perlu dilakukan oleh dirinya,” menurut teks makluman fatwa itu lagi.