malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Zakaria harap kemelut FGV selesai dalam 2 minggu
ADS

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO) Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Datuk Zakaria Arshad menyambut baik pelantikan Datuk Seri Idris Jala sebagai pihak berkecuali untuk meneliti penggantungannya dan tiga lagi pegawainya.

Zakaria berkata ini kerana ia mampu merungkai segala persoalan dan kemelut yang melanda FGV.

"Bagi saya bagus cadangan Idris sekurang-kurang tidak adalah timbul isu berat sebelah dan tiadalah penglibatan dari pihak dalaman atau pegawai. Tak elok juga kalau dari kalangan pegawai saya, tak bagus,"

"Kalau pegawai saya buat nanti dia pun serba salah nak buatkan, saya rasa elok keputusan yang bijak oleh kerajaan untuk melantik pihak ketiga," kata Zakaria ketika ditemui di perkarangan ibu pejabat SPRM, Putrajaya sebentar tadi.

Kerajaan hari ini melantik Idris yang juga bekas menteri di jabatan perdana menteri sebagai pihak berkecuali untuk meneliti penggantungan Zakaria selaku ketua pegawai eksekutif, ketua pegawai kewangan FGV dan dua yang lain oleh Lembaga Pengarah.

Idris, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu Associates Sdn Bhd diminta untuk meneliti fakta kes itu dan mencadangkan jalan penyelesaian berhubung keputusan tersebut.

Terdahulu, Zakaria hadir ke SPRM Putrajaya bagi memberi keterangan dan menyerahkan dokumen FGV selepas diarahkan bercuti serta-merta oleh lembaga pengarah.

Beliau yang hadir tanpa ditemani mana-mana peguam tiba sekitar jam 2.20 petang dan hanya keluar selepas empat jam berada di dalam bangunan SPRM itu.

Mengulas pertemuan itu, Zakaria berkata, pihaknya sekali lagi akan hadir ke SPRM Putrajaya esok bagi menyambung keterangan.

Malah, kata Zakaria, dengan layanan mesra SPRM itu beliau menjangkakan isu terbabit dapat diselesaikan dalam tempoh dua minggu.

"Layanan SPRM bagus dekat 4 jam mungkin ada sambungan memang ada lagi siasatan.

"Berharap masalah ini selesai dalam dua minggu," katanya.

Sementara itu, Zakaria ketika diminta mengulas gesaaan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas, Datuk Dr Puad Zarkashi agar dua teraju yang berseteru dalam Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) supaya meletak jawatan, Zakaria berkata beliau tidak akan berbuat demikian.

Zakaria Arshad berkata beliau tetap dengan pendiriannya sebelum ini dan hanya akan melepaskan jawatannya sekiranya didapati bersalah.

"Kenapa pulak saya perlu letak jawatan....Saya rasa cadangan itu tidak boleh, apalah sebab.

"Kecuali saya salah. Saya tak salah kenapa saya kena letak (jawatan)," kata Zakaria lagi.

Petang tadi, Zakaria hadir ke ibu pejabat SPRM setelah dipanggil oleh suruhanjaya tersebut bagi memberi keterangan.

"Saya dipanggil SPRM tetapi saya pun dah sedia. Hari ini tak ada cerita apa cuma nak serah dokumen berkenaan FGV sahaja dan terpulang pada SPRM nak tanya apa," ujar Zakaria ringkas.

Semalam, Zakaria dilaporkan sebagai berkata, beliau mahu SPRM menyiasat keseluruhan operasi syarikat itu bagi menilai sekiranya berlaku sebarang penyalah gunaan kuasa.

Jelas Zakaria, walaupun diarahkan bercuti serta-merta oleh lembaga pengarah FGV, beliau sendiri sedia memberi kerjasama kepada SPRM untuk menyiasat syarikat perladangan itu termasuk ketika sebelum beliau menjadi CEO lagi.

Lihat Komen