Parti Keadilan Nasional mendesak pemimpin-pemimpin negara meminta maaf kerana cuba mengaitkan pelajar dengan kebakaran Dewan Tunku Canselor di Universiti Malaya baru baru ini.
Timbalan Presiden Dr Chandra Muzaffar berkata laporan siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat merupakan "suatu tamparan hebat" kepada mereka yang membuat tuduhan melulu sebelum ini.
"Keadilan menggesa menteri, pemimpin Umno dan individu yang mendakwa bahawa kebakaran itu adalah perbuatan khianat dan cuba mengaitkan (kejadian itu) dengan pelajar UM supaya memohon maaf kepada pelajar," katanya.
Jabatan bomba dalam siasatannya dilaporkan menolak sebarang perbuatan khianat sebagai punca kejadian pada awal pagi 29 Jun lalu yang memusnahkan 90 peratus bangunan itu.
Laporan Berita Harian semalam menyebut, jabatan itu mengenal pasti tiga sebab kejadian itu: sistem pendawaian yang telah usang, pertambahan penggunaan elektrik dan usia bangunan yang hampir 40 tahun.
Jabatan itu dilaporkan berkata sistem pendawaian DTC sudah usang kerana belum pernah diganti sejak bangunan itu dibina. Penggunaan tenaga elektrik di dewan itu pula meningkat kerana pemasangan pelbagai peralatan semasa persiapan menganjurkan 'Simposium Penegasan Arah Tuju Idealisme Mahasiswa di Alaf Baru' yang dirasmikan penutupannya oleh Perdana Menteri pada 1 Julai.
Dr Chandra menamakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Rais Yatim, sebagai seorang daripada pemimpin negara yang harus berbuat demikian.
Dr Rais dalam kenyataannya, seperti dilaporkan The Sun 10 Julai, mengaitkan kebakaran itu dengan pemimpin pelajar negara ini, khususnya UM. "Mereka yang mempunyai niat jahat terhadap institusi kerajaan hidupnya tidak akan senang," katanya, seperti dilaporkan, mengulas tragedi itu.
Sementara Ketua Pemuda PAS Mahfuz Omar pula berkata tuduhan pemimpin kerajaan terhadap pelajar itu sebagai "berniat jahat dan bermotif politik."
"Tuduhan liar Perdana Menteri bahawa kebakaran itu sebagai manifestasi (kesan) kepada kegiatan militan mahasiswa dan desakan Puteri Umno agar Naib Canselor UM meletakkan jawatan telah memburukkan nama baik mahasiswa dan maruah universiti itu," katanya.
Mahfuz mendesak Dr Mahathir Mohamad, Ketua Polis Negara dan beberapa pemimpin utama negara meletak jawatan masing-masing kerana "sikap tidak profesional dengan membuat fitnah dan mendahului keputusan siasatan (rasmi)."