malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Tun Dr Mahathir mungkin menimbangkan kemungkinan menjadi perdana menteri lagi tetapi bekas anak didik - dan seterunya - mempunyai pandangan lain.

Kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, cadangan itu hanya mungkin dicapai jika mendapat persetujuan bersama di kalangan parti pembangkang.

"Ia bukan keputusan beliau, sebaliknya Pakatan Harapan.

"Seseorang tidak menjadi menawarkan diri (menjadi perdana menteri) begitu saja sebaliknya perlu ada kesepakatan," katanya kepada media hari ini.

Anwar yang menjadi calon perdana menteri di kalangan gabungan HARAPAN ditemui di kompleks Mahkamah Syariah Shah Alam hari ini.

Isu calon perdana menteri mewakili HARAPAN masih belum diselesaikan oleh gabungan parti pembangkang itu ketika tarikh pilihan raya umum semakin menghampiri.

Pada dasarnya calon dipersetujui oleh pakatan itu ialah Anwar berdasarkan kepada pengalamannya dalam kerajaan serta mengetuai pembangkang berdepan dengan BN sebelum ini.

Bagaimanapun penyertaai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) membuka kepada ruang perbincangan baru oleh kerana tokoh terbabit dalam pertubuhan berkenaan.

BERSATU dipimpin Dr Mahathir sendiri sebagai pengerusi, manakala bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi presiden.

Pada 1 Jun lalu Dr Mahathir berkata beliau mungkin terpaksa mempertimbangkan kedudukannya jika HARAPAN mempunyai rancangan sedemikian.

Ketika menjawab soalan pada sesi secara langsung di Facebook, Dr Mahathir ditanya sama ada beliau bersetuju menjadi perdana menteri sekali lagi jika BN kalah pada PRU ke-14.

Bagaimanapun, Dr Mahathir, 91, menegaskan beliau tidak bersetuju untuk menjadi perdana menteri lagi.

Lihat Komen