malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemuda PKR dakwa bayaran bukti konspirasi politik
ADS

Sayap Pemuda PKR di seluruh negara akan membuat laporan polis bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan terbaru Sarawak Report terhadap perdana menteri dan seorang peguam kanan.

Laman web pemberi maklumat itu baru-baru ini mendakwa peguam berkenaan menerima RM9.5 juta daripada akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak, dua tahun lalu.

Timbalan Ketua Pemuda PKR, Dr Afif Bahardin berkata, laporan itu menunjukkan terdapat tangan tersembunyi dalam kes-kes berprofil tinggi di mahkamah.

"Laporan itu menyokong teori kospirasi politik," katanya kepada Malaysiakini.

Afif mempersoalkan masa pembayaran wang yang dikatakan dipindah kepada peguam itu daripada salah satu akaun bank Najib yang menerima dana daripada SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.

"Wang itu telah dipindahkan dua minggu sebelum Mahkamah Persekutuan mengubah ...(keputusan mahkamah yang lebih rendah dalam kes itu)," katanya.

Justeru ADUN Seberang Jaya itu menggesa Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyiasat laporan tersebut.

"Kami tahu kamu telah dilantik oleh Najib tetapi perkara ini bukan saja melibatkan integriti perdana menteri, tetapi juga seorang peguam dan keseluruhan badan kehakiman," katanya.

Exco Pulau Pinang itu berkata beliau bimbang dengan perjalanan kes-kes mahkamah di negara ini sekiranya dakwaan Sarawak Report itu adalah benar.

"Jika dakwaan itu benar, tiada lagi kedaulatan undang-undang, dan kita tidak boleh anggap diri kita melaksanakan demokrasi," kata Afif.

Apandi membersihkan Najib daripada sebarang salah laku pada Januari tahun lepas, manakala perdana menteri menafikan menerima wang untuk kepentingan peribadi.

Najib berkata beliau tidak sedar menerima wang SRC dan menyangka ia sebahagian daripada deposit berbilion ringgit yang masuk ke akaunnya.

Apandi juga mengulangi pendirian Najib bahawa deposit berbilion ringgit itu merupakan "derma" daripada kerabat diraja Saudi.

Malaysiakini sedang menghubungi peguam berkenaan untuk mendapatkan respon dan tidak mendedahkan namanya sementara menunggu jawapan.

Malaysiakini juga telah menghubungi setiausaha akhbar perdana menteri, Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad untuk mendapatkan maklum balas berhubung dakwaan itu.

Sementara Najib berulang kali menafikan menyalahgunakan dana awam, penyokong pro-kerajaan menuduh editor Sarawak Report yang berpangkalan di London, Claire Rewcastle-Brown menjadi sebahagian daripada kempen untuk menggulingkan perdana menteri menggunakan dakwaan palsu.

[Baca berita asal]

Lihat Komen