malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kerana berkenan Ahmad tersisih, ustaz tanpa tauliah dapat tempat?
Diterbitkan:  May 31, 2017 9:46 PM
Dikemaskini: 1:59 PM
ADS

Kerana "berkenan" masjid dan surau di Selangor terdedah kepada salah urus dan melanggar undang-undang ditetapkan pihak berkuasa agama negeri, kata Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor.

Ketuanya, Abbas Azmi, berkata asas yang difahami semua pihak ialah, kebenaran seseorang penceramah menyampaikan ilmu di masjid atau surau adalah mereka mesti mendapat tauliah daripada Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Bagaimanapun, katanya, atas pertimbangan "berkenan" pihak jawatankuasa masjid atau surau, ada penceramah tanpa tauliah diberi tempat di Selangor.

"Sepatutnya kriteria disenangi jawatankuasa masjid dan surau ini tidak dijadikan keutamaan, sebaliknya pengalaman, keilmuan seseorang penceramah itulah yang lebih penting," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abbas mengulas kenyataan Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi mengenai kesukaran bekas pengarah Pusat Islam, Ahmad Awang, yang mula disekat daripada menyampaikan kuliah di berbelas masjid dan surau.

Nafi kredibiliti pendakwah

Malaysiakini pada 26 Mei lalu melaporkan, Sallehen berkata keputusan membenarkan atau mengetepikan seseorang guru agama menyampaikan ilmu terletak di tangan jawatankuasa masjid dan surau.

"Mungkin pihak masjid tidak berkenan dengan beliau (Ahmad)," katanya.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan keluhan Ahmad apabila ada masjid atau surau tidak lagi memberi ruang kepadanya menyampaikan kuliah.

Ada antara masjid atau surau itu sudah memberi tempat kepada Ahmad menyampaikan ilmunya berpuluh tahun. Perubahan itu berlaku sejak Ahmad bertanding untuk jawatan presiden PAS menentang Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ahmad kini dilantik penasihat umum AMANAH.

Abbas (gambar) berkata Ahmad adalah tokoh yang terbukti mempunyai pakej lengkap untuk menyampaikan kuliah, bahkan berpengalaman luas dalam bidang dakwah.

"Hanya kerana beliau adalah penasihat umum AMANAH dan pernah menjadi lawan kepada Abdul Hadi maka haknya dinafikan untuk memberi kuliah di masjid dan surau," katanya.

Abbas juga menyatakan, Sultan Selangor sebagai ketua agama juga bertitah bahawa masjid dan surau mesti dibebaskan daripada sebarang unsur politik.

"Tetapi konsep berkenannya ahli jawatankuasa masjid dan surau itu membuka ruang kepada pertimbangan politik mengambil tempat dalam membuat keputusan, sekali gus menafikan kredibiliti penceramah atau pendakwah tersebut," katanya.

Keadaan sama, katanya, berlaku ketika Selangor ditadbir BN apabila masjid dan surau dikuasai oleh pemimpin Umno.

Ketika itu, kata Abbas, penceramah atau pendakwah yang menyokong parti pembangkang - terutama PAS - tidak diberi ruang lansung.

"Apakah hari ini kejadian sama berlaku atas sifat berkenan kebanyakan pentadbir surau dan masjid yang dikuasai ahli parti tertentu itu?" katanya.

Lihat Komen