malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Rafizi mohon maaf tersilap kenal pasti Florence Goh
ADS

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, hari ini memohon maaf kerana tersilap mengenal pasti seorang wanita yang didakwanya terlibat dalam pelantikan firma pelobi untuk kerajaan Malaysia.

Kata Rafizi, dia mengambil tanggungjawab atas kekeliruan mengenai seorang wanita dinamakan sebagai Florence Goh pada kenyataan dibuatnya sebelum ini.

"Saya mengesahkan bahawa (Florence) Goh Siew Boy dari CRT Insights Technologies Sdn Bhd bukanlah Florence Goh yang menjadi pengarah Godfrey Group Ltd yang terlibat di dalam kontrak melobi itu.

"Saya mengambil tanggungjawab penuh atas kesilapan ini dan memohon maaf kepada Goh Siew Boy dan CRT Insights Technologies Sdn Bhd kerana telah menyiarkan nama mereka.

"Saya ada meminta supaya mereka tampil memberikan penjelasan, maka saya hargai penerangan itu bahawa mereka tidak terbabit dan saya tidak teragak-agak memohon maaf kerana mereka tidak terlibat di dalam kes ini," kata Rafizi melalui satu kenyataan hari ini.

Permohonan maaf itu dibuat selepas Siew Boy membuat sidang media menafikan terbabit dalam skandal lobi yang didedahkan anggota parlimen Pandan itu.

Siew Boy kemudian menuntut Rafizi (gambar) memohon maaf atas kenyataannya sebelum ini.

Menurut pengarah CRT Insights Technologies itu, dia tidak mempunyai sebarang kaitan dengan firma Godfrey Group atau mengetuai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Johor Bahru yang dirujuk Rafizi.

Dia juga menafikan terlibat mendapatkan khidmat firma pelobi AS berkenaan.

"Saya bukan orang itu dan saya tidak ada kaitan dengan mana-mana pihak yang dilaporkan dalam artikel berkenaan," kata Siew Boey pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Sidang media itu dianjurkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Wee Ka Siong.

Wee menyelia Sekretariat Pembangunan Usahawan Malaysia, yang dihubungi Goh apabila menyedari mengenai dakwaan Rafizi selepas menerima e-mel daripada Malaysiakini.

Nama Cina berbeza

Khamis lalu, sebuah portal berita AS mendakwa Putrajaya mengupah seorang bekas pembantu Presiden AS, Donald Trump - Healy Baumgardner-Nardone - untuk menjalankan aktiviti melobi untuk kerajaan Malaysia.

Kemudian pada Sabtu Rafizi mendakwa berdasarkan dokumen Jabatan Keadilan (DOJ) AS, Baumgardner-Nardone diupah melalui Kumpulan Godfrey dan seseorang bernama Florence Goh sebagai pengarah syarikat berkenaan.

Dokumen DOJ, katanya, menunjukkan bahawa Kumpulan Godfrey mempunyai alamat komersial yang sama dengan CRT Insight Technologies iaitu di Johor Bahru dan dimiliki Siew Boey.

Wanita itu bagaimanapun berkata pejabatnya terletak di 42 Jalan Molek 2/1, dan bukannya 42 Jalan Molek 2/3 seperti yang didakwa oleh Rafizi.

Wee kemudiannya membekalkan laporan Suruhanjaya Syarikat Malaysia yang menunjukkan bahawa sebuah syarikat berbeza sebaliknya beroperasi di 42 Jalan Molek 2/3, yang tidak mempunyai seorang pengarah bernama Florence Goh.

Selain itu, Florence Goh yang beroperasi di 42 Jalan Molek 2/3 mempunyai nama Cina yang berbeza daripada Siew Boey.

Siew Boey berkata beliau tidak tahu apa yang dilakukan oleh syarikat lain itu.

Beliau seterusnya menuntut supaya Rafizi memohon maaf secara terbuka berhubung dakwaannya itu,

"Saya mahu dia membersihkan nama saya. Berilah saya keadilan. Minta maaf dan buat kenyataan umum kerana dia membuat tuduhan ini secara terbuka," katanya.

Siew Boey berkata dirinya telah membuat laporan polis, dan berhak untuk mengambil tindakan undang-undang selanjutnya terhadap Ahli Parlimen Pandan itu.

Sementara itu, Wee mengecam Rafizi kerana membuat dakwaan dan kesimpulan tanpa membuat pemeriksaan yang menyeluruh.

"Sebelum kamu membuat sebarang tuduhan liar kamu mesti semaka secara menyeluruh.

"Bagaimana boleh kamu membuat kesilapan tersebut, kamu tidak boleh menuduh seseorang sebarangan," kata Wee yang juga adalah timbalan presiden MCA.

Beliau juga mengulangi kenyataan Pejabat Perdana Menteri bahawa Putrajaya tidak terlibat Baumgardner-Nardone.

Malaysiakini masih cuba untuk menghubungi Florence Goh yang beralamat di 42 Jalan Molek 2/3.

Lihat Komen