Kartunis satira politik Zunar akan melancarkan buku Twit-Twit, Cin Cin pada 3 Jun depan di ibu negara.
Bagaimanapun, majlis itu akan berlangsung tanpa sebuah pun buku yang mahu dijual. Hanya kulit fotostat sahaja akan diedarkan kepada peminat.
Semuanya gara-gara buku-bukunya sering menjadi sasaran rampasan pihak berkuasa sebelum ini.
“Pada 17 Disember 2016, lebih 1,300 naskhah buku kartun saya dirampas ketika saya ditahan pada di tempat sama.
“Justeru itu, hanya salinan fotostat muka depan Twit-Twit, Cin Cin akan dijual pada pelancaran kali ini.
“Dan saya akan menghantar buku yang sebenar kepada pembeli selepas program.
“Untuk pihak polis, mereka boleh rampas salinan fotostat banyak mana yang mereka mahu, saya tiada masalah,” katanya.
Dalam kenyataan hari ini, Zubar berkata buku-buku itu adalah kompilasi karya-karyanya di Internet dan media sosial dalam tempoh dua tahun terakhir.
Zunar terkenal dengan kartun-kartun menyentuh isu politik semasa, selain menyindir keras Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor.