malaysiakini logo
story-image
mk-logo
News
Rafidah dicadang jumpa Mahathir selesaikan isu AP
Published:  Jul 28, 2005 5:10 PM
Updated: Jan 29, 2008 10:21 AM
ADS

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz dan Penasihat Proton Tun Dr Mahathir Mohamad diminta mengadakan pertemuan untuk menyelesaikan sebarang salah faham antara mereka berhubung isu permit import (AP) dan dasar kereta nasional.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Norraesah Mohamad berkata hari ini, berkata mereka perlu bertemu "seperti bapa dengan anak ikut budaya Melayu" bagi menyelesaikan apa jua masalah yang timbul.

"Pertemuan ini penting kerana isu itu sudah nampak seolah-olah menjadi isu peribadi," katanya kepada pemberita di Pangkalan TUDM di Subang selepas menyambut kepulangan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dari lawatan rasmi ke Afrika Selatan.

Norraesah berkata kemelut itu harus ditamatkan segera kerana ia sudah menjadi "tidak sihat" kerana menimbulkan banyak persoalan dan syak wasangka.

"Bukan soal nak suruh Datuk Seri Rafidah jumpa Tun Dr Mahathir tapi pada pandangan saya, sebagai orang Melayu masalah itu hendaklah diselesaikan secara baik," katanya.

Isu itu timbul apabila Dr Mahathir mempersoalkan pemberian AP sehingga menjejaskan penjualan kereta nasional, dan ekoran isu itu, kabinet mengarahkan Rafidah menulis surat kepada bekas perdana menteri itu bagi memberikan penjelasan.

Bagaimanapun Dr Mahathir dilaporkan berkata Rafidah tidak memberikan gambaran sebenar mengenai pemberian AP itu.

Menurut laporan Bernama, Norraesah, yang juga ahli exco Pergerakan Wanita Umno, meminta media tidak lagi memperbesarkan isu itu.

Pak Lah: umum senarai penuh

Sementara itu, di Johannesburg semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengarahkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz untuk mengumumkan senarai penuh pemegang Permit Kelulusan (AP) untuk mengimport kereta bagi mengelakkan pandangan negatif daripada orang ramai.

"Okay umumkan kesemuanya, kesemuanya. Tidak perlu untuk dirahsiakan. Kenapa perlu dirahsiakan. Jika dengan merahsiakan, kita wujudkan pandangan negatif, itu tidak betul, itu salah," katanya ketika memberi respons terhadap dakwaan daripada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan tidak mengeluarkan senarai penuh kepada orang ramai.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kontroversi yang berkisar mengenai isu AP di sidang akhbar untuk media Malaysia pada akhir lawatan rasmi tiga harinya ke Afrika Selatan.

Ketika membuat ulasan, Rafidah yang turut berada di sidang akhbar itu berkata beliau akan mengumumkan senarai penuh berkenaan yang termasuk mereka yang memiliki bilik-bilik pameran.

Sebelum itu, Abdullah berkata, beliau tidak berhasrat untuk mengumumkan apa yang telah diumumkan.

"Senarai itu adalah yang terbaru sehingga 2005 dan orang ramai telah melihat senarai terbaru. Jika ada yang tertinggal kerana kelalaian, kami akan umumkan lagi. Tetapi Rafidah dalam kedudukan lebih baik (untuk mengumumkannya). Saya telah umumkan senarai itu pada hari berkenaan," katanya.

Perdana Menteri berkata beliau melihat isu AP itu daripada aspek utama.

"Kami mungkin perlu menyemak dasar dan memperkenalkan peraturan yang lebih ketat mengenai pengeluaran AP terbuka untuk mengelakkan salah guna. Mereka sepatutnya mengimport kereta dan menjual kereta dan tidak menjual AP." kata Abdullah.

Kontrak Tengku Mahaleel

Mengenai AP francais, beliau berkata kerajaan akan turut menyemak pengeluaran (AP itu) di segi kepentingan di masa hadapan, tetapi menyatakan bahawa beliau bukan dalam kedudukan untuk mengumumkan perincian mengenai perkara itu.

Mengenai keputusan lembaga pengarah Proton yang tidak memperbaharui kontrak Ketua Pegawai Eksekutifnya Tengku Mahaleel Tengku Ariff, beliau berkata ianya adalah keputusan lembaga itu yang dilakukan mengikut peraturan.

Mengenai pengganti Tengku Mahaleel, Abdullah berkata bakal ketua pegawai eksekutif (CEO) akan merupakan seorang yang berpangkalaman dan yang telah berkhidmat kira-kira 12 tahun dengan Proton.

"Kita akan melihat siapa yang akan menjadi CEO. Orangnya bukan rakyat asing. Jangan buat spekulasi," katanya ketika diminta mengulas mengenai cakap-cakap bahawa seorang rakyat asing mungkin dilantik untuk menggantikan Tengku Mahaleel.

Abdullah berkata penjelasan mengenai perkara itu perlu dibuat oleh lembaga pengarah Proton.

"Mereka sepatutnya tahu jawapannya. Saya akan memberi lembaga itu peluang akan kata-kata sungguhpun berasa sangsi. Lembaga pegarah itu mesti bertindak demi kepentingan Proton sebagai pengeluar kereta nasional. Mereka perlu ada perasaan mementingkan kereta nasional," kata Perdana Menteri.

"Mereka hendaklah memastikan bahawa Proton telah menunjukkan kemajuan. Itu adalah apa yang hendak saya lihat. Perincian keputusan pengurusan terpulang kepada mereka untuk membuat keputusannya. Saya akan membiarkan mereka untuk membuat keputusan terbaik demi kepentingan lembaga pengarahnya.

"Mereka boleh mempunyai banyak sebab bagi apapun yang telah mereka lakukan. Saya mahu mengingatkan mereka dan membuat kenyataan ini, bahawa keputusan-keputusan hendaklah dibuat demi kepentingan dan kemajuan Proton."

Tengku Mahaleel kini sedang bercuti yang berkuat kuasa pada 26 Julai sebelum bersara pada 30 Sept, 2005.

Ekoran keputusan untuk menamatkan kontrak Tengku Mahaleel, Proton telah melantik Datuk Kisai Rahmat, yang juga pengarah Operasi dan Datuk Kamarulzaman Darus, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Tanjung Malim Sdn Bhd, sebagai pegawai-pegawai operasi bersama untuk mengendalikan Proton Holdings Bhd berkuatkuasa 26 Julai.

Selepas sidang akhbar itu, Rafidah memberitahu para pemberita bahawa perasaannya kini "terlalu terhiris" untuk menjawab dakwaan Dr Mahathir itu.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.